SEPANG: “Kalau 100,000 individu menyumbang sebanyak RM10 seorang, pasti boleh mencecah jumlah itu”.
Itu kata salah seorang anggota kumpulan nasyid Inteam, Hazamin berhubung sasaran kutipan sumbangan sebanyak RM1,000,000 bagi membantu kira-kira 100,000 penduduk di kem pelarian, Utara Syria.
Jelas Inteam, tugasan itu disertai delegasi Peduli Insan Malaysia untuk ke kem pelarian di sana membabitkan 1.5 juta pelarian.
Sehubungan itu, ketika ditemui media, Inteam berkata, kutipan sumbangan itu dijalankan menerusi kempen 12 jam Syria.
“Cabaran yang dibuat ini berlangsung dari jam 11 pagi Jumaat sehingga 11 malam (waktu Malaysia) atau jam 6 petang (waktu Syria). Kami tinggal dalam khemah diperbuat dari kanvas dan kain nipis dalam musim sejuk yang mencengkam.
“Kami akan menyampaikan bantuan kepada 100,000 pelarian berupa bakul makanan, set hidangan panas, alat pemanas serta bahan bakar, set pakaian musim sejuk dan selimut yang dikenali sebagai Selimut Kasih,” katanya.
Menerusi cabaran terbabit, tiga anggota Inteam iaitu Hazamin, Rahim dan Syahril yang melakukan Misi Bantuan Kemanusiaan Musim Sejuk Siri ke-10, merasai pengalaman peribadi tinggal di dalam sebuah khemah di kem pelarian ketika cuaca sejuk ini.
Dalam masa sama, Inteam juga mengambil peluang yang ada itu untuk membuat penggambaran muzik video lagu Selimut Kasih ciptaan Syahril dan lirik ditulis Fedtri Yahya.