KUALA LUMPUR : Pelakon dan pelawak terkenal negara, Zizan Razak, 38, mendedahkan dia belum bersedia untuk terjun ke bidang politik meski sedar terdapat segelintir rakan artis dan selebriti yang mengubah kerjaya mereka ke arah itu.
Kata Zizan, pun begitu dia enggan ada pihak tersalah tafsir dengan kenyataannya kerana dia tetap menghormati pendirian rakan-rakan lain yang kini cenderung berpolitik.
“Buat masa ini, saya tak pernah terfikir ke arah tersebut (politik). Bukan saya kata politik tak bagus tapi mungkin saya ada matlamat dan cara saya sendiri.
“Kawan-kawan saya macam Datuk Hans Isaac dan Datuk Afdlin Shauki, mereka mempunyai minat dan apa yang ingin diperjuangkan.
“Bagi saya, tak salah (anak seni masuk dunia politik). Golongan artis ada kekuatan tersendiri. Kita diangkat lebih daripada orang lain dari segi populariti,” katanya.
Tambah Zizan lagi, sebagai seorang anak seni, dia sedar diri dan ruang lantaran lebih selesa berkongsi cara lain dalam menyalurkan bantuan mengikut kemampuan sendiri.
“Saya suka tunjukkan tentang bisnes, suka kongsi benda-benda yang saya rasa perlu saya kongsi macam ilmu agama dan sebagainya ataupun yang berkaitan tentang kerjaya sebagai anak seni.
“Kawan-kawan lain memilih ke arah politik, mungkin mereka mempunyai matlamat dan misi mereka sendiri. Saya rasa itu hak masing-masing sebab negara kita sebuah negara demokrasi,” katanya ketika ditemui pada sidang media pra-pelancaran telemovie Rompak di ibu negara baru-baru ini.
Dalam pada itu, Zizan yang cukup dikenali menerusi filem Abang Long Fadil menafikan, perjumpaannya dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini adalah bersifat politik.
Jelas Zizan, perjumpaan tersebut hanya membincangkan tentang situasi semasa dan hala tuju industri seni tanah air.
“Beliau (Annuar Musa) bertanya tentang keseluruhan industri. Dari segi kerja, waktu kerja, bayaran artis dan saya kongsi juga tentang wartawan dan semua benda untuk industri.
“Apa yang perlu dan apa yang tidak perlu dalam industri. Tentang royalti, kita tahu, royalti banyak memihak kepada penyanyi sahaja, tidak buat pelakon.
“Contohnya, kita berlakon dan filem ditayangkan di pawagam, bayaran hanya terhenti di situ sahaja. Kalau filem kita berlakon tayang di Astro atau stesen TV lain misalnya, kita (pelakon) tak dapat apa-apa.
“Saya persoal tentang itu dengan beliau dan alhamdulillah, didengari dan beliau nak tahu lebih mendalam lagi tentang derita yang kita orang industri sedang alami,” ujarnya.
Ditanya sama ada dirinya mempunyai hasrat untuk mengendalikan persatuan seni tanah air, Zizan berkata, dirinya tidak langsung mempunyai niat ke arah tersebut.
“Saya tak layak. Saya suarakan dan kongsi sahaja kalau ada peluang. Bukan bermakna saya lari daripada tanggungjawab sebagai seorang anak seni.
“Untuk industri kita berkembang pesat, semua orang perlu berani suarakan pendapat. Kalau ada artis kita punya potensi ke peringkat antarabangsa macam Hairul Azreen, kita salurkan sokongan,” katanya.