KUALA LUMPUR: Pengacara dan pelakon, Raja Azura, 49, meluahkan rasa kecewa dan hairan mengapa dirinya menjadi sasaran penggodam sambil menganggap dirinya bukanlah seorang artis yang popular.
Malah, kata Raja Azura, jumlah pengikutnya di Instagram juga tidak mencecah sejuta berbanding kalangan artis lain yang lebih popular.
“Baru-baru ini akaun saya telah digodam namun Alhamdulillah, akaun tersebut telah berjaya diperolehi semula. Empat hari lepas, kurang lebih 1.30 pagi, saya dengan bantuan beberapa rakan berusaha mendapatkan semula akaun yang digodam.
“Tetapi tak lama selepas kami dapat, penggodam itu cuba menggodam semula akaun saya itu. Beberapa kali juga keadaan main tarik tali itu berlaku. Tak tahulah kenapa. Saya ini bukanlah popular sangat.
“Ramai yang tak suka daripada suka sebenarnya saya ini. Saya punya pengikut pun tak cecah sejuta dan cuma ada kurang lebih 300,000 macam itu,”katanya.
Raja Azura berkata demikian dalam satu hantaran yang dimuat naik di Instagram setelah berjaya memperolehi akaun tersebut kelmarin.
Menerusi hantaran yang sama, pengacara yang juga dikenali dengan panggilan Kak Engku itu juga berterima kasih kepada semua pihak termasuk peminat dan pengikut yang cuba membantu dirinya.
“Terima kasih kepada semua pengikut yang betul-betul sayangkan saya, yang cuba membantu. Terima kasih banyak-banyak kepada pengurus saya yang bersusah payah membantu sepanjang proses mendapatkan semula akaun ini,”katanya.
Dalam perkembangan terbaru, kata Raja Azura, dia meminta semua pengikut terutama rakan-rakan industri supaya memberi ruang untuknya memperbaiki beberapa masalah lain yang timbul gara-gara jenayah siber yang menimpa dirinya itu.
“Kerana kejadian tempoh hari, ada antaranya yang dah tak ikuti selain menyekat akaun saya di Instagram. Saya dapati, penggodam tersebut telah memadam semua akaun yang saya ikuti dan disinilah masalah itu berlaku.
“Saya akan cuba baiki masalah ini dari semasa ke semasa. Selain itu, ada ramai juga yang bertanya pada saya, macam mana nak dapatkan semula akaun yang telah digodam. Saya akan beritahu nanti menerusi akaun Youtube.
“Saya nak berpesan, jika ada antara kalian yang berdepan dengan masalah begini, terus buat laporan di Instagram. Minta tolong kawan-kawan dan pengguna media sosial untuk turut sama membuat laporan,”katanya.
Terdahulu, Raja Azura melahirkan rasa kecewa apabila akaun Instagramnya digodam individu tidak bertanggungjawab yang menggunapakai nama @rozyprevalx.
Tidak cuma itu, kata juri program realiti, The Masked Singer Malaysia musim 2 ini lagi, penggodam berkenaan juga tegar menawarkan untuk memulangkan semula akaun Instagram miliknya dengan mengenakan syarat bayaran sebanyak AS$200 (RM 837).