PETALING JAYA: Penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza, meluahkan rasa bimbang dengan situasi banjir di Terengganu yang semakin teruk.
Perkara tersebut dikongsikan penyanyi lagu Kau Kekasihku menerusi sebuah coretan di Instagram miliknya, sebentar tadi.
Dalam pada itu, Siti yang lebih disapa TokTi memohon kepada pihak kerajaan negeri berkenaan agar dapat menyalurkan bantuan segera kepada penduduk yang masih terperangkap di kawasan terjejas.
“Ya Allah… Banjir di Terengganu semakin teruk…
“Minta pihak kerajaan beri bantuan segera kerana ramai yang terperangkap dalam banjir,” tulisnya di Instagram.
Dalam pada itu, Siti ada memuat naik video pendek di Instastory yang memaparkan seorang wanita yang terperangkap di atas bumbung sebuah lori, meminta bantuan segera, di Kampung Menerong, Kuala Berang, Hulu Terengganu.
Mengulas lanjut, dia turut memohon agar wanita berkenaan sudah diberi bantuan dengan kadar segera.
“Harap kakak ini sudah dibantu. Yang mana belum
dan berada di kawasan bahaya.
“Sama-sama kita doakan semoga bantuan datang dengan segera,” katanya.
Semalam, keadaan banjir di beberapa daerah di Terengganu dan Kelantan masih membimbangkan, dengan paras air di beberapa kawasan mencatat peningkatan.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan paras air dilaporkan naik mendadak di Hulu Terengganu, Terengganu petang tadi, hingga menyebabkan banyak kampung terputus hubungan.