KUALA LUMPUR : Ternyata sangat gembira dengan kelahiran putera sulungnya, Muhammad Bilal, pendakwah bebas dan pelakon, Haris Ismail atau PU Riz, meluahkan rasa tidak sangkanya bahawa kini dirinya sudah bergelar seorang bapa.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Instagramnya, Riz berharap dan mendoakan agar anak sulungnya itu dapat membesar dan menjadi seorang anak yang soleh.
“Alhamdulillah, Allah SWT berikan nikmat. Anak ini adalah aset ke syurga, dengan syarat umi abah mencoraknya dengan mentaati perintah Allah.
“Semoga nanti Bilal boleh baca, tidak ada apa yang abah harapkan dari adik, kecuali adik menjadi anak yang soleh.
“Semoga Allah takdirkan anak abah ini dalam kalangan para solehin lebih baik dari abah
Insya-Allah,”katanya.
Selain itu, suami kepada selebriti terkenal tanah air, Noor Neelofa ini turut menulis beberapa doa dan harapannya pada perkongsian yang sama.
Antaranya dengan mendoakan agar anak mereka, Bilal, menjadi seorang insan yang taat dan berbuat baik kepada ibu bapa kerana ia merupakan perintah Allah, tidak melawan jika tidak ada yang bertentangan dengan agama serta bercakap baik kepada kedua ibu bapa.
“Kasihani abah umi seperti mana abah umi kasih pada mu. Reda Allah ada pada reda ibubapa dan kemarahan Allah pada keduanya jua.Manakah amalan yang paling afdal? Kata nabi solat pada awal waktu, solat pada waktunya.
“Kemudian apa? Berbuat baik kepada ibu abah.Alhamdullillah Allah hadirkan insya- Allah aset ke syurga doa anak yang soleh tu yang dicari. Sehinggakan disebut oleh nabi sebagai satu amalan yang tak putus. Semoga anak abah jadi orang yang baik insya-Allah
“Baru aku tahu macam mana umi abahku sayang padaku. Terima kasih Allah atas peluang ini. Dah jadi bapa pula sekarang. Cepat dunia berlalu,” katanya.
Riz dan Neelofa berkahwin pada 27 Mac tahun lalu dan baru sahaja meraikan kehadiran cahaya mata sulung mereka pada tanggal 29 Januari lalu pada pukul 3.44 petang.