KUALA LUMPUR : Penyanyi berbakat besar, Vanessa Reynauld, 21, mendedahkan dirinya pernah menjadi mangsa ejekan body shaming daripada orang sekeliling ketika menjalani zaman kanak-kanak.
Kata Vanessa, keadaan itu berlaku hanya kerana dia memiliki sosok tubuh yang sedikit besar dan pengalaman itu kekal berada di mindanya meski sudah lama berlalu.
“Realitinya, kita semua tak sempurna, hanya kita boleh ubah pemikiran terbabit dan mencintai diri sendiri. Saya tak selalu berkongsi mengenai perkara ini, tetapi orang selalu nampak saya senyum dan yakin atas pentas. Sebenarnya ada sisi kehidupan yang orang tak tahu.
“Semenjak kecil lagi saya selalu kena ejek sampai pernah rasa takut dan trauma pergi sekolah! Ada yang samakan saya dengan suku kaum dan etnik tertentu hanya kerana rambut afro semulajadi saya yang cantik ni.
“Hey, kalau pergi salun nak buat rambut macam ni mahal tau! Tapi saya berjaya menghadapi perkara itu.Walaupun sehingga sekarang masih lagi terima kecaman tentang penampilan, ia tidak seburuk dahulu kerana saya dah pandai untuk mengendalikannya,”katanya.
Vanessa berkata demikian dalam satu hantaran yang dimuat naik menerusi akaun Instagramnya semalam.
Menerusi hantaran yang sama, penyanyi lagu Rindu Separuh Nyawa duet bersama Naqiu ini mengaku teringat akan kisah lalu setelah terlihat satu kejadian di depan matanya.
“Ia membuatkan saya teringat keadaan yang sama semasa saya ternampak situasi yang membuat diri ‘trigged’. Ada seorang perempuan ini berbadan besar, dia nak beli baju.
“Tapi kedai itu tak banyak pilihan baju untuk mereka yang berbadan besar. Pembantu jualan itu pun layan tak layan, pandang atas bawah,” katanya.
Selain itu, tambah Vanessa, dia menjadi seorang yang kuat kerana mahu memberikan kehidupan yang selesa kepada keluarga, terutama kepada abangnya yang menghidap sindrom down.
“Dari program Ceria Popstar sehingga ke pentas Separuh Akhir Muzik Muzik 36, walaupun tidak berjaya ke peringkat akhir, perjalanan ini sangat panjang dan mencabar. Walaupun saya pernah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa, tetapi memang susah nak dapatkan penghargaan orang ramai.
“Tapi tak mengapa, saya tak pernah kecewa kerana ini apa yang diimpikan. Saya takkan biar komen negatif melemahkan diri. Saya kuat kerana keluarga. Saya berjanji untuk memberikan mereka kehidupan yang selesa, terutamanya kepada abang saya, Christopher.
“Abang saya insan istimewa, dia menghidap sindrom down. Dia memang bergantung harap kepada orang lain jadi sayalah yang menjaganya setiap hari, memberi dia makan dan mandikan dia. Abang adalah cinta sejati kami sekeluarga. Dia buat saya rasa sempurna,”katanya.
Dalam pda itu, kata Vanessa, dia mempunyai misi untuk berusaha menjadi seorang penyanyi yang disegani demi membantu keluarga dan abangnya.
“Sasaran saya setiap tahun adalah untuk menjadi penyanyi yang disegani, jadi satu hari nanti sata boleh sediakan keperluan abang saya.
“Walau apa halangan yang saya harus hadapi, saya tak pernah menyerah kalah kerana dialah sumber keyakinan dan kesempurnaan saya,” katanya.
Dalam hantaran yang sama, Vanessa turut meluahkan rasa teruja kerana wajahnya dipilih untuk dipaparkan di papan iklan digital terkemuka New York Times Square, Amerika Syarikat bersempena kempen Equal-Spotify.
Di ruangan komen, rata-rata peminat memberikan kata-kata semangat kepada penyanyi remaja ini agar Vanessa tidak berputus asa.
Dalam perkembangan lain, Vanessa bakal muncul dengan single terbaharu berjudul Buat Ku Sempurna pada 28 Januari ini.
Single yang diterbitkan oleh Adib Hussin ini dicipta oleh Faizal Tahir bersama Mage dan ia merupakan dedikasi khas Vanessa untuk abangnya, Christopher.