KUALA LUMPUR : Penyanyi kelahiran program Mentor Millenia 2017, Usop, 24, menafikan dia telah melakukan keganasan terhadap tunangnya, Nur Fatihah Md Hashim, 26.
Terkejut dengan tuduhan yang dilemparkan warganet, penyanyi dengan nama sebenar Muhammad Saiful Naim Muhammad Noor tersebut membidas dengan menganggap semua tuduhan itu tidak berasas.
“Oit netizen, saya pun reti (pandai) aih. Tak akan saya nak pukul tunang saya. Tak akan saya nak pegi tumbuk muka dia.
“Orang laki kalau pukul perempuan ini, dayus. Ingat saya takda akal ka?” tegas Usop dalam satu hantaran yang dimuat naik di platform Tiktok baru-baru ini.
Ia bagi mengulas telahan warganet mengenai kesan lebam di bawah mata kiri tunangnya setelah wanita itu berkongsikan sekeping gambar di media sosialnya.
Susulan perkongsian itu, rata-rata pengikut Nur Fatihah membuat andaian dengan mendakwa Usop telah memukul tunangnya.
Menerusi tinjauan di ruangan komen, terdapat pengguna media sosial mengakui dia hampir memarahi pelantun lagu Aku Yang Bersalah selepas menonton video terbabit.
“Baru nak kutuk Usop tadi sampai hati tumbuk tunang. Nasib baik saya ini netizen kelas pertama khatam semua komen dulu,” katanya.
Dalam pada itu, Nur Fatihah juga ada menjelaskan kecederaan yang dialaminya itu disebabkan terhantuk di bucu meja.
“Sedih sebab nak kenduri tapi lebam tak hilang-hilang. Terhantuk bucu meja,”katanya.
Untuk info, Usop dan Nur Fatihah telah mengikat tali pertunangan pada 4 November tahun lalu dan merancang untuk mendirikan rumah tangga pada tahun ini.