KUALA LUMPUR : Dalam kemeriahan pelbagai pihak meraikan kemenangan juara program Gegar Vaganza musim kelapan yang berlangsung semalam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, berlaku sedikit kekecohan mengenai senarai keputusan yang dikatakan telah dibocorkan.
Dakwaan itu timbul selepas produksi dan pihak media tempatan mendapati terdapat sebuah blog telah memuat naik keputusan keseluruhan pertandingan akhir tersebut yang kononnya sudah diketahui lebih awal.
Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad menjelaskan, pihaknya mengetahui isu ini timbul selepas menerima tangkapan skrin (screenshot) artikel blog tersebut.
Tegas Raqim, dia sangat yakin tidak ada yang membocorkan keputusan kepada orang luar.
“Saya tak rasa ada yang bocorkan (keputusan) tapi saya tak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Kami tahu keputusan kemenangan sekitar pukul 11.30 malam tapi dari tangkap layar yang saya terima artikel itu dikongsikan pada pukul 11.01 malam.
“Dari pihak kami, saya sangat pasti tak ada yang membocorkan awal daripada masa sepatutnya. Tetapi, isu ini kami boleh siasat. Mungkin ada masalah teknikal dari pihak sana,”katanya ketika ditemui pada sidang media di PICC, semalam.
Dalam pada itu, Raqim memberitahu, individu terawal yang mendapat keputusan akhir GV8 adalah dirinya, ketua juri iaitu Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat, Hetty Koes Endang dan juri jemputan, Joe Flizzow.
“Markah semua dikira oleh audit yang duduk bersama dengan produksi di belakang. Yang tahu dulu keseluruhan markah semestinya saya, Tok Ram dan semua juri. Jadi, tak mungkin keputusan malam ini (ahad) bocor,”katanya.
Pentas akhir GV8 telah menyaksikan penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz muncul juara program realiti itu mengalahkan lima peserta lain iaitu Nikki Palikat, Suki, Adibah Noor, Azan Scan dan Aweera.
Aliff membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 dan Piala Gegar Vaganza.