PETALING JAYA: Penyanyi dan pengacara, Hunny Madu, selamat melahirkan cahaya mata ketiganya, pada tanggal 22 Januari lalu.
Perkhabaran gembira tersebut dikongsikan sendiri penyanyi lagu Kisah Kita itu menerusi entri Instagram miliknya, semalam.
Menurut Hunny, dia kini dalam proses berusaha untuk menyesuaikan diri apabila kembali bergelar ibu dengan kehadiran anak kecil.
Selain itu, dia turut menamakan puterinya iaitu Mia Celine, yang kini berusia lapan hari.
“Sudah tujuh hari saya tak berkongsi sebarang perkembangan dan sepanjang tempoh itu lah, saya sedang cuba menyesuaikan diri dengan kehadiran anggota baharu dalam rumah kami.
“Saya sedang belajar semula segalanya dan mengambil tahu tentang banyak perkara termasuk perasaan bayi dan keperluannya.
“Bagaimana lah saya boleh lupa untuk menjadi seorang ibu kepada anak kecil ini? Rasa-rasanya ada informasi yang tercicir apabila kita tidak mempraktikkannya,” katanya di Instagram.
Mengulas lanjut, dia kini baru mempunyai kelapangan untuk berkongsi perkembangannya, selepas menjalani rawatan selama dua hari.
“Hari ini(semalam) barulah boleh kembali segar selepas dua malam mengalami pembengkakan, akhirnya tukang urut datang untuk meredakan masalah saya.
“Mia Celine kini sudah berusia tujuh hari (semalam) dan setiap kali saya memandangnya, setiap kali itu lah saya jatuh cinta,” coretnya lagi.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata warganet tumpang gembira dan mengucapkan tahniah buat pasangan tersebut.
Untuk rekod, Hunny dan suami tercinta, Fedrighi telah mendirikan rumah tangga pada tanggal 2 Mei 2020.
Sebelum ini, dia pernah berkahwin dengan bekas suaminya, Khairul Azhar Abdul Wahid pada tahun 2010 dan dikurniakan dua cahaya mata.