Pelakon skuad Elit, Zamshuri giat bantu individu langsai hutang - Utusan Malaysia

Pelakon skuad Elit, Zamshuri giat bantu individu langsai hutang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pernah mencipta populariti menerusi drama bersiri Skuad Elit sekitar tahun 2003, pelakon dan selebriti, Zamshuri Ramli, 51, kini bergerak aktif menerusi badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu ramai pihak dari aspek pengurusan kewangan.

Menurut Zamshuri, hasrat itu semakin membuak selepas dia dilantik sebagai Pengarah Komunikasi Korporat untuk Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM) baru-baru ini.

“Bagi mereka yang tak tahu, persatuan yang ditubuhkan pada 2013 ini bertujuan membantu permasalahan hutang dan liabiliti pengguna yang dihadapi oleh rakyat Malaysia.

“NGO yang berpusat di Ampang ini adalah satu-satunya NGO di Malaysia yang menjadi pakar mediasi bagi mengatasi pelbagai masalah perbankan, pakar dalam masalah urusan lelongan, kebangkrapan, penstrukturan dan penjadualan semula hutang-hutang,”katanya.

Menurut Zamshuri lagi, dia berbangga kerana dalam tempoh 9 tahun, NGO 4PM telah menjadi rakan Jabatan Insolvensi Malaysia, Mahkamah Timbang Tara Malaysia dan juga menjadi rakan Pasukan Tindakan Cemas Malaysia.

“Alhamdulillah pelantikan ini memberikan sedikit peluang kepada saya untuk membawa NGO 4PM lebih menyeluruh ke seluruh Malaysia selepas 9 tahun. Malah, ia satu-satunya NGO dalam negara yang aktif dan beri tumpuan sepenuhnya pada permasalahan hutang-piutang yang dialami oleh masyarakat.

“NGO 4PM adalah satu tempat hentian (one stop centre) untuk permasalahan perbankan, kredit sivil dan permasalahan konsumer,” katanya.

Zamshuri berkata, perkhidmatan NGO 4PM disediakan untuk menghentikan tindakan sivil, perundangan dan gangguan pengutip hutang.

“4PM menawarkan khidmat kepakaran kepada semua masyarakat di Malaysia dan 4PM akan bertindak pantas menghentikan kekerasan, penganiayaan, kepincangan yang dilakukan oleh pegawai dari institusi kewangan dan tindakan sivil dari pengutip hutang dan juga daripada semua yang kita tempuhi.

“Banyak kecelaruan telah berlaku dan dalam masa yang sama kecelaruan yang dikenal pasti melibatkan penyalahgunaan kuasa daripada perkhidmatan bank, dari segi pegawai-pegawai bank sampailah ke jabatan-jabatan dipanggil jabatan-jabatan kerajaan yang berurusan dengan masyarakat.

“Kami akan berada terkehadapan untuk memberi sedikit ruang untuk bantu masyarakat dengan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Dalam perkembangan kerjaya seni, kata Zamshuri, ada ketika dia mengaku merindui dunia lakonan setelah hampir 19 tahun tidak aktif.

“Saya pernah memperlahankan kerjaya lakonan selama dua tahun atas beberapa faktor antaranya menjaga bapa yang uzur dan kemudian meninggal dunia pada 2011. Kemudian, saya aktif sebagai penceramah motivasi bebas.

“Jujurnya, saya terpaksa fokus pada perkara yang lebih penting dan menjadikan lakonan sebagai kerjaya kedua.Drama terakhir saya ialah Dendam Sarakit dan Transit Terakhir yang boleh ditonton menerusi YouTube.

“Bagaimanapun saya macam nak buat ‘comeback’ kerana rasa rindu dengan semua rakan-rakan media dan artis,” katanya.

Untuk info, antara filem yang pernah dibintangi oleh Zamshuri sebelum ini ialah, Don (Bollywood), Misi 1511, Gerak Khas The Movie 3 dan Kepulangan.

Selain itu, pelakon ini juga pernah bergelar penyampai radio untuk IKIM serta menghasilkan album secara berduet dengan Rashdan Baba berjudul Langkah yang berkonsep motivasi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya