KUALA LUMPUR: Bekas juara Mentor musim keempat, Mohd, 33, mengakui tiada kebimbangannya untuk membuka cawangan kedua kedai makan Nasi Lemak Puakez di Taman Danau Kota di kala negara masih dihuni wabak Covid-19.
Jelasnya, keberanian terbit setelah isterinya, Nurul Asyiqin Zaini, 28, memberi pandangan dan dorongan yang bernas.
“Keberanian itu datang daripada isteri saya. Katanya kami suami isteri sendiri beli makanan menerusi aplikasi penghantaran.
“Kalau tidak boleh makan di premis pun orang tetap boleh membuat pembelian menerusi aplikasi tersebut.
“Jadi dari situlah saya rasa ada keyakinan untuk berniaga dan tidak bimbang,” katanya.
Mohd atau nama penuhnya Mohd Izwan Mohd Nor berkata ketika ditemui pada perasmian malam semalam.
Mengulas mengenai pemilihan tempat, Mohd yang juga protege kepada penyanyi hebat, Ziana Zain, berkata, dia sudah arif dengan kawasan sekitar berkenaan kerana dia sendiri tinggal di sana.
“Di persekitaran saya ini hanya ada satu restoran sahaja berbanding di seberang jalan sudah ada banyak pilihan.
“Saya sendiri duduk di kawasan ini dan tahu ramai orang lalu lalang di sini,” ujarnya yang sama-sama menjalankan bisnes itu dengan komposer Iswandi.
Untuk rekod, cawangan pertama telah dibuka di Melaka sejak 2016. Manakala cawangan terbaharu akan mula beroperasi pada 1 Februari 2022 setiap hari kecuali hari Isnin, dari pukul 3 petang sehingga 12 tengah malam.