KUALA LUMPUR : Tidak semena-mena menjadi bahan kecaman dan kritikan selebriti terkenal tanah air, Azwan Ali atau Diva AA, juri program All Together Now Malaysia (ATNMY), Kelly Azman, menganggap semua itu lumrah kehidupan seorang anak seni.
Mengaku tidak cepat melatah dan tidak berdendam dengan Diva AA, Kelly lebih selesa untuk terus menjadi diri sendiri lantaran percaya tiada gunanya saling berbalah.
“Sedikit pun saya tak terasa dengan ciapan yang dibuat oleh Diva AA di Twitter tempoh hari yang berunsur kritikan pedas dan kecaman. Mungkin bagi orang lain, saya sepatutnya memberi kenyataan balas segera berhubung perkara itu.
“Tetapi, saya rasa untuk apa berbuat demikian? Saya di sini tenang-tenang sahaja,”katanya.
Kelly berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi, semalam.
Terdahulu, tular di media sosial apabila Diva AA membuat ciapan di Twitter dan mengecam teruk Kelly dengan menyifatkannya sebagai juri sampah selain menyentuh imejnya yang memakai kaca mata tebal.
“Viral as ever! Diva AA maki kan jer juri sampah pakai kanta 3KM! Ko bawak sial jer”
“F*cking faked tersial gelupuh ber selfie! Juri-juri sampah yang diperap Astro! Dah habis calon ke? Bila di cop show sampah? Amok! But*h! Gthh Puii” komen Diva AA menerusi sebuah ciapan di Twitter sebelum ini.
Selain itu, Kelly juga menganggap setiap orang harus pandang ke hadapan dan meneruskan kehidupan tanpa perlu memikirkan hal yang sudah berlalu.
“Saya sudah lama di dalam industri ini. Sama seperti Diva AA saya pun sudah lali dengan pelbagai kecaman termasuk darinya kerana kami pun sudah lama saling mengenali.
“Apa-pun saya hanya ingin memfokuskan kepada karier saya dan buatkan orang ramai terhibur. Jadi terserah kepada mereka untuk berkata-kata kerana saya hanya menjadi diri saya sendiri dan ingin menjadi penghibur,”katanya.
Dalam pada itu, pada satu pertemuan tidak sengaja di majlis sidang media MIC ON! musim kedua di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur baru-baru ini, Kelly dan Diva AA dilihat sempat bertemu muka, berbual baik termasuk bergambar bersama.
Sementara itu, Diva AA menjelaskan, dia akan terus memberi teguran kepada mana-mana pihak yang menimbulkan isu dan dalam masa yang sama tidak menyangka zaman ini pelbagai kontroversi panas masih menjadi tumpuan umum.
“Saya berada dalam industri ini lebih 33 tahun. Siapa pun tak sangka selepas 10 tahun mendiamkan diri, kini saya kembali.Saya duduk di London tetapi kontroversi terus berlegar-legar. Ingatkan kontroversi 10 tahun lalu berbeza dengan tahun 2022. Ikhlas saya cakap saya dah lalui semuanya, macam-macam cerita dah keluar.
“Saya tidak menyangka sehingga tahun ini nama dan kontroversi Diva AA berada di tahap yang menggunung. Saya terkejut sebab ingatkan ia semakin tenggelam sebab sebelum saya membawa diri ke London 10 tahun lalu saya kecewa dengan apa yang orang kecam saya.
“Tetapi kini tidak lagi kerana ia telah berubah dan perasaan geram saya semakin menebal. Saya pernah dikecam lebih dari 50 status sehari. Kau sanggup ke dengan kecaman? kalau menteri satu dua kecaman pun dah menggelupur buat sidang media” seloroh Diva AA.