KUALA LUMPUR : Berkahwin pada tanggal 21 Disember 2021, pengacara dan selebriti terkenal, Uyaina Arshad, 30, ada cara tersendiri untuk memastikan tarikh berkenaan terus dapat diingatinya bersama suami, Raja Syahiran,29.
Ini kerana, kata Uyaina, dia dan Syahiran telah sama-sama bersetuju untuk mengukir tarikh berkenaan pada cincin perkahwinan yang dipakai oleh kedua-dua mereka yang ditempah khas di Ceres Jewels.
“Masa ummi dan arwah baba menikah dulu, baba hadiahkan cincin emas untuk ummi. Bila saya sudah besar, saya tahu nangti bila saya berkahwin, saya juga nak mempunyai sebentuk cincin emas bertatah berlian untuk dijadikan sebagai cincin nikah.
“Ia mempunyai nilai sentimental yang sangat dekat di hati saya. Pada cincin ini terukir tarikh URS 21.12.21. Kalau terlupa tarikh ulang tahun perkahwinan lagi, tak tahulah!”katanya.
Uyaina berkata demikian dalam satu hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya semalam.
Selain itu, kata pengacara ini, baginya cincin emas bertatah berlian lazimnya memiliki keistimewaan dari aspek tak lekang dek zaman selain elegan dan klasik.
“Ia adalah apa yang saya sangat-sangat mahukan. Saya cuma nak satu sahaja cincin yang akan saya pakai sepanjang hidup. Tambahan pula, saya tak minta apa-apa hantaran dan mahar saya adalah cincin dan gelang emas.
“Jadi, apabila Syahiran memberi kejutan kepada saya dengan cincin ini, nampaknya dia benar-benar faham apa yang saya mahukan.Dia sendiri pergi bertemu dengan Datuk Ramesh, pemilik Ceres Jewels untuk menempah cincin impian saya ini.
“Datuk Ramesh pun terkejut bila Syahiran nak tempah cincin tersebut kerana rata-rata anak muda zaman sekarang tak suka emas kuning dan lebih menyukai emas putih,”katanya.