KUALA LUMPUR : Tidak menunjukkan reaksi cuak, penyanyi dan komposer terkenal, Hael Husaini, 35, tenang membidas fitnah yang bertebaran kononnya dia memasuki sebuah kelab gay semasa berada di Korea Selatan atas urusan kerja baru-baru ini.
Hael tidak menolak, kemungkinan fitnah itu timbul kerana banyak pihak tidak tahu tujuan sebenar dirinya berangkat ke Korea sekitar awal November lalu.
“Allahuakbar… Mungkin benda itu terjadi kerana orang tak tahu kenapa kita berada di sana. Iyalah, saya termasuk beberapa rakan artis lain yang terlibat dalam program Master In The House Malaysia, kami tak dibenarkan untuk beritahu pada umum.
“Maksud saya, mengenai pembabitan kami dalam program tersebut di sana. Kami diminta untuk berahsia. Tetapi, bagi saya, kini semuanya sudah terungkai,”katanya.
Hael berkata demikian semasa ditemui pada sidang media program berkenaan yang diadakan di Petaling Jaya Performing Arts Centre, Pusat Membeli Belah One Utama, Damansara, semalam.
Turut hadir pada sidang media tersebut ialah tiga selebriti lain yang menyertai Master In The House Malaysia iaitu Sharifah Rose, Scha Elinnea dan Meyrasam.
Selain itu, ditanya sama ada dirinya kecewa dengan tuduhan yang dilemparkan mengenai isu kelab gay di Korea tersebut, Hael mengaku enggan menjadikan hal itu sebagai satu punca untuk dirinya hilang konsentrasi.
“Tak apalah. Sebenarnya, sepanjang berada di sana, saya pun tak mahu diri dibelenggu dengan isu tersebut. Saya tak nak hilang fokus dan konsentrasi untuk menjayakan program itu di sana,”katanya.
Dalam pada itu, ditanya sama ada dia mengetahui mengenai tindakan pihak pengurusannya untuk memfailkan saman terhadap individu yang menyebarkan fitnah tersebut, Hael enggan mengulas lanjut.
Baginya, mengenai perihal saman, dia hanya menyerahkan urusan itu kepada pihak pengurusan dan enggan mengambil tahu.
“Saya tak tahu dan tak nak ambil tahu. Benda yang berlaku tempoh hari sudah saya serahkan kepada pengurusan saya dan rasanya, mereka lebih pakar dalam mengendalikan hal seperti ini.
“Macam saya katakan tadi, sepanjang berada di sana, saya harus fokus dan penggambaran juga berlaku dari waktu pagiu hingga ke pagi. Jadi, saya tentunya lebih memerlukan fokus dan tenaga untuk menjayakan program,”katanya.
Terdahulu, pengurusan Hael Husaini bercadang mengambil tindakan terhadap seorang pelajar Malaysia di Korea Selatan yang dikatakan memfitnah penyanyi terbabit berhibur di sebuah kelab hiburan gay di Itaewon baru-baru ini.
Menerusi perkongsian dari kelab peminat Hael di aplikasi TikTok, tindakan susulan akan diambil kepada pelajar berkenaan di atas tuduhan yang dilihat tidak berasas.
Sebelum ini juga, pihak pengurusan dan pembantu peribadi Hael ada tampil menafikan dakwaan yang bertebaran menerusi sebuah rakaman ‘live’ di Instagram.
Difahamkan, pelajar tersebut kemudiannya telah bertindak memadam ciapan terbabit selepas ia menjadi perbualan ramai.