PETALING JAYA: Personaliti media sosial dan hos rancangan, Dahlia Shazwan memaklumkan dia menyertai misi kemanusiaan ke Syria, yang bermula semalam.
Perkara tersebut dikongsian pengacara rancangan popular Hlive itu di entri Instagram miliknya.
Menurut Dahlia, dia yang pertama kali menyertai misi berkenaan menzahirkan rasa syukur dan gembira selain mencari pengalaman sepanjang berada di sana untuk dikongsikan kepada pengikut dan penyumbang.
“Assalamualaikum, saya cuma ingin berkongsi. Saya dan pasukan Malaysia For Syria (MFS) dalam perjalanan ke Syria untuk misi musim sejuk.
“Ini adalah kali pertama pergi ke sana supaya saya boleh tahu dan dapat berkongsi dengan kamu semua keadaan di sana.
“Bagi mereka yang sudah menyumbang, kita pun ingin mengetahui bagaimana keadaan di sana. Saya sangat bersyukur dan gembira menjadi sebahagian pasukan ini. Doakan kami. Terima kasih,” kongsinya di Instastory (Igstory).
Menjengah perkongsian lain, Dahlia ada memuat naik video pendek di Igstory yang dilihat sedang menyantuni kanak-kanak di Mahaad Anuar, Syria.
Sekadar informasi, model iklan Trivago itu merupakan duta bagi badan bukan kerajaan untuk MFS menyertai Misi Kempen Musim Sejuk Syria siri ke-10 yang bermula pada hari ini bersama tujuh lagi sekarelawan lain.
Menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), setakat Januari 2021, 13.3 juta penduduk di negara berkenaan memerlukan pelbagai bentuk bantuan kemanusiaan.