KUALA LUMPUR : Aktres, Iman Suhana, 32, menzahirkan rasa syukur dan lega selepas lapan hari menjalani kuarantin di Hospital Sungai Buloh, pagi, Ahad.
Berita itu dikongsi sendiri menerusi akaun Instagram milik pelakon Takdir Yang Tertulis sebagai menggamit memori awal tahun.
“Sengsara berpisah dengan keluarga Tuhan sahaja yang tahu. Demi anak dalam kandungan gagahkan juga diri untuk kuat.
“Moga semua ibu-ibu mengandung juga kawan-kawan semua dilindungi dari wabak penyakit ini. Jaga diri semua,” coret Iman.
Dalam perkongsian sama Iman turut berterima kasih kepada semua yang ambil peduli terhadap kesihatan dan kandungannya termasuk jururawat di hospital berkenaan.
“Hanya Allah sahaja dapat membalas segala kebaikan kalian. Saya dah kembali ke pangkuan keluarga. Syukur Alhamdulillah!,” ujarnya lagi.
Serentak dengan perkongsian itu, Iman turut memuat naik status di Instagram Story.
“Allahu nikmatnya dapat berehat di rumah dan tidur dekat katil sendiri. Lega! Syukur Alhamdulillah,” katanya.
Sebagai informasi, Iman berkahwin dengan ahli perniagaan Muhammad Syazwan Ibrahim, 32, pada 2018.
Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Maya Inara yang kini berusia tiga tahun.