Buat apa nak malu mengaku bayar hutang? - Adibah Noor - Utusan Malaysia

Buat apa nak malu mengaku bayar hutang? – Adibah Noor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Penyanyi dan peserta program realiti Gegar Vaganza musim kelapan (GV8), Adibah Noor, 52, menganggap tiada yang perlu dimalukan apabila dia mengaku mahu menggunakan duit kemenangan di program berkenaan untuk melangsaikan hutang piutangnya.

Menurut Adibah, dia bersyukur meraih duit kemenangan berjumlah RM20,000 itu meski tidak pulang dengan gelaran juara kerana sekurang-kurangnya wang tersebut dapat digunakan untuk tujuan tersebut.

“Rasanya semua sudah tahu bagaimana saya lalui hidup yang susah ketika dua kali tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini. Saya tidak malu mengaku tentang hal tersebut. Bahkan bukan sahaja saya yang terjejas, ramai lagi yang sama keadaannya dengan saya.

“Jadi duit kemenangan ini saya akan gunakan untuk bayar semua hutang yang telah saya pinjam sebelum ini dan tebus kembali barang kemas yang digadai,”katanya.

Adibah berkata demikian semasa ditemui selepas berlabuhnya tirai pentas akhir GV8 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, kelmarin.

Sebelum ini, Adibah pernah mengaku terpaksa menjual rumah dan menggadai barang kemas berikutan kesempitan wang sejak PKP dikuatkuasakan pada Mac 2020.

Selain itu, tambah pelantun lagu Terlalu Istimewa ini, dia tidak lupa untuk menyimpan sejumlah wang kemenangan demi masa depan.

“Selain itu, saya akan simpan sedikit duit kemenangan itu dan jika ada lebih saya mahu bercuti bagi merehatkan diri,”katanya.

Dalam pada itu, pelakon drama Kampung People 2 akui sepanjang menyertai program itu dia telah berubah menjadi individu yang berjaya mengawal kelantangan suara.

“Semua orang tahu saya seorang vokal person, lantang. Tweet saya di Twitter sentiasa berbisa. Program GV8 membuatkan saya sedar dan tidak lagi bersikap mudah menghukum. 

“Bagi saya, apa sahaja berlaku lebih baik diam dan telan sahaja.Tak susah sebenarnya untuk mendiamkan diri apabila kita buka hati untuk faham tuntutan kerja orang lain,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya