KUALA LUMPUR : Mengaku tidak pernah mewarnakan rambut sepanjang usianya, pelakon berdedikasi, Fasha Sandha, 37, bagaimanapun terpaksa beralah apabila diminta untuk berbuat demikian oleh pasukan produksi drama berjudul Khilaf Asmara.
Menurut Fasha, dia sendiri sebetulnya tidak selesa untuk mewarnakan rambut perang terang sehinggakan ketika pertama kali tampil dengan imej tersebut, dia berasa malu.
“Terus terang, saya memang tak selesa dengan rambut berwarna sebegini. Tapi memandangkan ia untuk karakter Hanim yang dibawa, saya buatlah juga.
“Ini juga adalah permintaan daripada pengarah drama itu sendiri yang mahu saya memotong dan warnakan rambut untuk menyuntik kelainan pada watak berkenaan. Mereka nak nampak saya betul-betul lain.
“Walaupun rasa berat di hati, saya tetap lakukan. Sebenarnya, saya tak kisah nak potong rambut pendek tapi ini kali pertama seumur hidup saya warna rambut seperti ini.Malu jugalah nak keluar rumah masa mula-mula itu,”katanya,
Fasha berkata demikian semasa ditemui pada sidang media pengumuman top 5 Anugerah MeleTOP Era (AME 2021) di GSC, Tropicana Garden Mall, di sini, selasa lalu.
Bagaimanapun, menurut Fasha, dia juga tidak mendapat halangan daripada suaminya, juga pelakon, Aidil Aziz, mengenai tindakan mewarnakan rambut memandangkan ia sudah dibincangkan bersama.
“Tentunya saya juga berbincang dengan suami sebelum melakukannya. Dia ini jenis tak kisah dan faham yang saya lakukan itu atas tugas sebagai pelakon,”katanya.
Dalam pada itu, Fasha juga meluahkan rasa gembira apabila tersenarai dalam pencalonan kategori Pelakon MeleTOP untuk Anugerah MeleTOP ERA 2021.
Malah, pelakon ini turut berterima kasih kepada pengarah Osman Ali yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk menerajui telefilem Sihir Pemisah sehingga berjaya tersenarai dalam kategori itu.
“Alhamdulillah, sejujurnya saya terkejut. Untuk bolos ke top 20 pun saya rasa amat susah apatah lagi top 5. Tak dijangka sebab ada barisan pelakon yang hebat-hebat.
“Bila dapat tahu dapat top 5, saya terus mesej Osman Ali sebab dalam ramai-ramai pelakon, ketika itu badan saya sangat besar sebab baru bersalin tapi dia tetap pilih saya.
“Dia pandang saya dari segi bakat dan sanggup ambil saya sebagai teraju utama. Bila dapat skrip itu, memang berbelah bagi sebab badan masih besar,” katanya.
Selain tercalon dalam kategori tersebut, Fasha dan Aidil berjaya tersenarai dalam top 5 kategori Couple MeleTOP.