Melihat kejayaan beberapa pemuzik indie menembusi pasaran muzik semasa atau mainstream menjadi titik tolak buat sebuah lagi kumpulan indie bergelar RYÖTJONES untuk mengikuti jejak langkah yang sama.
Kumpulan yang dianggotai sembilan pemuzik ini begitu optimis dengan keputusan dibuat dan ia bukan sahaja kerana inginkan perubahan dalam aliran muzik, tetapi meletakkan fokus untuk terus mengembangkan bakat yang ada.
Dianggotai oleh Hariez (vokalis); Aaron Gideon (dram); Laura Lim (bass); Deo Karmawan (gitar); Joel Benson (keyboard); Jazmi Jamaludin (tenor saxophone); Banni Basyishar (tenor saxophone) dan Hafiz “Monk” (trumpet), RYÖTJONES muncul dengan single Tanpamu hasil ciptaan sepenuhnya oleh Ali Karma dan Jiwa.
Menariknya, Tanpamu menyaksikan penghasilan lagu bahasa Melayu pertama mereka dengan menampilkan vokalis baharu, sesuatu yang berbeza untuk dijadikan sebagai buah tangan buat peminat.
Tampil mewakili kumpulan, Deo Karmawan berkata, kemunculan mereka dalam pasaran muzik ‘mainstream’ dan single bahasa Melayu antara lain adalah untuk mengumpul lebih ramai peminat.
“Kami berasal dari muzik indie. Pada 2018 kami melancarkan single bahasa Inggeris berjudul Dancing Shoes. Tapi, baru sekarang ini nak mencuba pasaran ‘mainstream’. Jadi, sebagai permulaan dan ingin memperkenalkan diri dalam industri, kami mempertaruhkan single bahasa Melayu iaitu Tanpamu.
“Dalam masa sama, single ini juga menampilkan vokalis baharu. Menerusi lagu ini, kami juga nak mendapatkan lebih ramai pendengar sekali gus boleh meminati muzik yang dibawa.
“Apatah lagi, untuk lagu ini kami juga mengetengahkan muzik yang sedikit berbeza daripada lagu sebelumnya,” katanya.
Menurut Deo, kemunculan RYÖTJONES juga adalah untuk menyampaikan mesej dalam lagu Tanpamu dengan cara dan pembawaan muzik yang diketengahkan.
“Dengan adanya vokalis baharu, jadi kami juga ambil keputusan untuk muncul dengan lagu bahasa Melayu. Kami ingin tukar imej dan menjenamakan semula kumpulan kami.
“Paling penting juga, apa yang menjadi fokus kami adalah mesej yang ingin disampaikan dalam lagu ini. Kami ingin ia disampaikan dengan cara kami dengan muzik yang dibawa.
“Apatah lagi, dalam kumpulan ini ada dua anggota berasal dari Indonesia. Disebabkan itu, bunyi muzik kami ada campuran Malaysia dan Indonesia. Ini juga mungkin menjadi kelebihan buat kumpulan kami,” katanya.
BELAJAR MELEPASKAN
Berkongsi lanjut mengenai lagu Tanpamu, Deo berkata, ia berkenaan dengan perasaan ‘move on’ selepas kehilangan sesuatu atau seseorang.
Malah, lagu ini juga boleh dikaitkan dengan kehidupan semua orang yang pernah melalui situasi kehilangan.
“Sama ada kehilangan sesuatu atau seseorang. Bagaimana nak atasi dan keluar dari kehilangan itu adalah dengan cara mengikhlaskan perkara itu.
“Walaupun ia lagu berkenaan kehilangan, tapi kami mengetengahkan muzik rancak. Bagi kami, kehilangan tak perlu dihadapi dengan kesedihan. Sebab perlu diberikan kegembiraan. Macam mana nak dapat kegembiraan itu, caranya adalah perlu ikhlas dulu.
“Lagu ini boleh dikaitkan dengan semua orang termasuk kami dalam kumpulan ini. Macam saya secara peribadi, sepanjang tempoh PKP, saya terpaksa menjual barang kesayangan. Memang sayang, tapi terpaksa lepaskan,” katanya.
Tanpamu sudah dilancarkan secara rasmi di semua platform digital 19 November lalu dan mendapat kerjasama dengan syarikat rakaman Universal Music Malaysia sebagai pengedar lagu.
Sementara itu, video muzik lagu ini pula telah mendapat sentuhan pemenang Hero Remaja, Nadhir Nasar sebagai pengarah dan diterbitkan oleh Farahrizan Razak.