MENGENAKAN sepasang persalinan sut berona kelabu muda, penampilannya tampak kemas dan versatil pada malam itu.
Satu persatu langkahnya diatur menuju ke Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCC) memandangkan pada 10 Disember lalu, tarikh itu cukup penting untuk dihadiri, jangan biar ketinggalan.
Maklum sahaja, Festival Filem Malaysia (FFM), bukan selalu diadakan. Tambahan pula, sejak berlakunya pandemik Covid-19, sudah dua tahun juga acara berprestij itu tidak dapat diadakan rentetan beberapa permasalahan yang tidak dapat dielakkan.
Justeru, apabila menerima jemputan untuk hadir pada penganjuran yang menyaksikan ini merupakan kali ke-31 ia dapat dilangsungkan, tentulah, ia dianggap satu peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan.
Namun, bagaikan sebuah rahsia Tuhan, apa yang pemilik nama Mohammad Zalimei Ishak ini tidak tahu, pada malam tersebut, sebuah magis akan berlaku pada dirinya.
“Hadir pada malam itu, saya tidak tahu pun nama ada dicalonkan dalam sebarang kategori. Saya terima jemputan untuk hadir ke FFM31, ada rasa keterujaan di hati memandangkan kita juga sudah lama tidak ada sebarang majlis besar untuk meraikan industri.
“Puncanya, sebagaimana yang semua tahu, pandemiklah. Jadi, apabila diminta untuk hadir, saya pergi kerana mahu bersama-sama rakan-rakan lain.
“Satu sebab utamanya juga kerana, itulah satu malam berprestij yang dapat kita sama-sama raikan wajah-wajah orang industri sama ada di depan mahu pun di belakang tabir,” katanya.
Mengakui segalanya bagaikan satu mimpi, aktor yang mesra disapa sebagai Remy ini sehingga sekarang seakan masih belum percaya namanya disebut pada malam itu.
Merangkul Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik FFM31, tro berbentuk lm strip bersadur emas itu, tahu-tahu sahaja sudah berada dalam genggamannya untuk dibawa pulang.
“Masih terasa kekok. Macam yang saya katakan tadi, hadirnya saya pada majlis itu adalah tanpa pengharapan besar, apa lagi rasanya semua yang hadir juga tidak tahu nama dicalonkan dalam kategori apa.
“Sehinggalah acara bermula dan nama mereka yang dicalonkan disebut mengikut kategori yang dipertandingkan. Alhamdulillah,” katanya.
Berkongsi lanjut, kata pelakon berusia 40 tahun ini, dia sebenarnya sudah lama putus asa untuk menaruh harapan memenangi sebarang anugerah.
Bukan kerana tidak percaya pada diri, tetapi kerana sentiasa sedar bahawa industri ada ramai bakat yang hebat dan berpotensi untuk menjadi pesaing terdekat.
“Bila saya kata hampir putus asa, itu betul. Festival Filem adalah satu anugerah yang rasanya bukan saya sahaja yang tunggu, bahkan semua orang dalam industri per leman kita. Ini adalah anugerah bak ‘Oscar Malaysia’.
“Ia sentiasa membuatkan saya teringat akan kata-kata ayah, Allahyarham Ishak Idris,yang pernah bertanya, ‘abang emy bila nak pegang tro FFM?’ Saya tiada jawapan untuk itu kerana masih belum ada rezeki waktu itu.
“Ayah kata, saya sudah menang anugerah itu ini, tapi dia hendak lihat saya bawa pulang satu anugerah berprestij. FFM lah jawapannya. Sejak itu, saya fikir betullah apa arwah ayah cakap.
“Boleh dikatakan, semua yang terlibat dalam FFM ialah penggiat seni yang memiliki mutu dan kelas tersendiri dalam industri. Saya sendiri pun, sudah empat kali menerima pencalonan tapi tak pernah menang,”katanya.
Berikutan itu, kata Remy, apabila diumumkan sebagai penerima anugerah kategori tersebut, sukar untuknya mengetepikan perasaan keharuan yang ditatang penuh dalam emosi bercampur baur.
“Rasa macam jantung nak terkeluar jugalah masa itu,”kata pelakon berkulit hitam manis ini lagi.
Bukan dicipta satu malam
Berkongsi lanjut mengenai kemenangannya, pelakon kelahiran Masjid Tanah, Melaka ini tidak menolak, bahawa kejayaannya kini amat mustahil untuk dicipta cuma pada satu malam.
Meskipun ia merupakan satu malam penuh keajaiban bagi dirinya, namun bukan mudah untuk meraih semua itu, tanpa menyaksikan pengorbanan, titik peluh, air mata bahkan darah sekali pun.
“Bukan satu kerja senang. Baiklah, saya bercerita dari sudut demi lem Sangkar itu sahaja ya. Menjayakan lem itu sahaja, banyak yang saya sudah lakukan demi memberikan yang terbaik.
“Saya mengalami patah jari kaki semasa membuat latihan intensif dengan koreografer. Terasa seksa mental dan fizikal untuk naikkan berat badan kerana perlu memastikan dalam tempoh sebulan, berat naik daripada 78 kilogram kepada 90 kilogram.
“Latihan beraksi lawan siang dan malam. Jangan lupa, dengan keadaan jari kaki yang patah itu juga saya tetap perlu meneruskan babak-babak berlawan dan harus ‘berlakon’ seperti tiada apa-apa yang berlaku dan okey saja,” katanya.
Bagaimanapun, kata Remy, terbit sedikit rasa terkilan kerana arwah ayahnya tidak dapat menyaksikan dirinya mengecapi kejayaan ini, di saat dia sudah menggenggam tro idaman tersebut.
“Arwah ayah sudah pergi tinggalkan dunia. Tak sempat untuk dia melihat saya menang tro ini. Kemenangan tempoh hari memang saya dedikasikan kepada arwah. Saya pasti, dia tentunya gembira dan berbangga,”katanya.
Melayangkan pertanyaan sama ada terdetik di hatinya tentang nilai sebuah hasil yang telah berbayar, pelakon ini pantas berkata iya.
Katanya, 15 tahun bukan satu tempoh yang sebentar cuma untuk menyaksikan dia berupaya berada pada tahap dan kedudukan kini.
“Mungkinlah, pada sesetengah orang, 15 tahun itu bagaikan satu pembabitan yang masih muda. Maklum sajalah, ada orang lagi yang lebih lama berada dalam industri ini, yang lebih senior.
“Ini semua berlaku kerana usaha dan kerja keras. Macam-macam watak sudah saya bawakan. Namun saya rasa beruntung kerana lahir dalam kelompok penggiat seni Indie. Saya telah terbiasa dengan sifat suka bekerja keras itu selain mementingkan disiplin semasa di set.
“Dari semasa ke semasa, saya bina usaha itu dan jadikan ia sebagai penjenamaan diri,”katanya.
Bagaimanapun, kata Remy, dia enggan ada yang tersalah sangka bahawa segala usaha yang dilakukan dan selama penglibatannya sebagai anak seni dilakukan semata-mata untuk mengejar anugerah.
Menidakkan hal itu, Remy menerapkan keikhlasan sebagai kata kunci utama kepada kejayaannya sekarang.
“Untuk sampai ke tahap ini, banyak kali saya mencuba dan terus mencuba. Tetapi, bukanlah kerana memang sasarkan sangat pada nak menang anugerah. Tentu, tidak salah untuk berangan-angan rangkul anugerah, ia boleh jadi pembakar semangat.
“Tetapi jangan sesekali menganggap bila buat sesuatu itu sebab nak menang anugerah. Ia tak akan berhasil. Sebagai pelakon, fokusnya adalah bagaimana mahu memberikan yang terbaik semasa menggalas tugas dan watak yang diberikan.
“Kedengarannya mungkin klise, tetapi benar, anugerah itu kalau dapat, ia cuma satu bonus saja,” katanya.
Menurut Remy, jika ditanya apa nasihat yang barangkali boleh disampaikan dan dikongsikan kepada pendatang-pendatang baru dalam industri, dia tidak menolak perkara yang sama.
“Saya akan cakap hal sama. Letakkan keikhlasan dalam bekerja. Positifkan diri walau tahu ia bukan kerja mudah. Saya cakap berdasarkan pengalaman, kerana sememangnya dalam perjalanan seni ini, normal kalau kita pernah rasa nak putus asa.
“Saya lalui semua itu. Tetapi, dalam keadaan nak putus asa itu, kita kena tetapkan hati dan kuatkan semangat untuk terus pandang ke depan dan lakukan apa yang sedang dilakukan.
“Jika benar kita sememangnya dilahirkan sebagai anak seni, tanamkan dalam diri a apa yang kita lakukan ini bukan semata-mata untuk kepuasan diri, tetapi lihatlah dari sudut apa yang kita boleh berikan kepada industri,” katanya yang mengaku, kemenangan tempoh hari merupakan penutup tahun yang indah buat dirinya.