KUALA LUMPUR: Penglibatan golongan selebriti dalam membantu mangsa terkesan bencana banjir wajar diteladani dan dipuji.
Baru-baru ini, barisan pelakon drama Hati Yang Dikhianati menyertai misi bantuan ke kampung RTB Bukit Canggang, Banting Selangor yang menjadi antara kawasan terjejas teruk akibat bencana tersebut.
Antara yang turun padang adalah Zamarul Hisham, Amar Baharin, Isyariana, Aamyra Rosli, Mia Nasir, Shah Iskandar, Manan Sulaiman dan Iqram Dinzly.
Sumbangan yang diberikan telah diuruskan pelakon berpengalaman, Datuk Seri Raja Shah Zurin Raja Aman Shah atau lebih dikenali sebagai Shah Rezza.
Isyariana yang melakonkan watak Lisa dalam drama tersebut mengakui cukup sedih melihatkan keadaan mangsa yang teruk terkesan akibat banjir.
Katanya dia amat gembira kerana dapat membantu meringankan sedikit beban mereka.
“Kita bantu bersihkan pinggan mangkuk yang berlumpur dan berselut sebanyak mungkin selain menyumbangkan makanan dan pakaian.
“Peserta lelaki membasuh rumah dan halaman sekitar sementara yang perempuan cuci pinggang mangkuk,” katanya.
Amar pula tidak mampu menyembunyikan kesedihannya melihat keadaan mangsa yang hanya tinggal sehelai sepinggang.
“Mereka sangat memerlukan tenaga kerja untuk membersihkan rumah dan barang-barang keperluan yang masih elok dan boleh dipakai.
“Kebanyakan rumah di sini dinaiki air sehingga paras dada. Hampir 80 peratus barang-barang di dalam rumah sudah tidak boleh digunakan.
“Alhamdulillah dengan izin Allah SWT kami akan lakukan misi seterusnya pada cuti yang akan datang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Shah Iskandar yang sebelum ini pernah menyertai misi bantuan bencana banjir memberitahu kali ini dia dan rakan artis lain berpeluang membersihkan rumah warga emas yang turut terkesan.
“Pakcik tersebut sudah tidak larat. Kami masuk beri bantuan, angkat barang yang perlu dibuang, kosongkan rumah dan sumbangkan sedikit bantuan kepada keluarganya.
“Saya pilu apabila pakcik tersebut berulang kali mengucapkan terima kasih. Itulah pengalaman saya,” ceritanya.