KUALA LUMPUR : Penyanyi dan peserta program Gegar Vaganza musim kelapan (GV8), Upiak Isil, 36, mendedahkan dirinya mempunyai keistimewaan deria keenam sejak kecil membolehkan dirinya mendengar suara-suara ghaib di luar kawalannya.
Menurut Upiak, sungguhpun ia barangkali dianggap sebagai satu kelebihan buat sesetengah pihak, namun baginya ia bukanlah sesuatu yang diingininya.
“Kalau boleh saya memang tak nak benda-benda ini. Saya tak dapat melihat, keistimewaan itu cuma tertumpu pada rasa dan pendengaran saja.
“Masih saya ingat, kalau ada orang mati, misalnya di kawasan kejiranan di rumah di Indonesia, kalau masa nak tidur, mesti ada dengar suara-suara ghaib. Mungkin ada antara si mati itu mahu meminta tolong kerana ada urusan di dunia yang tidak beres,”katanya.
Upiak berkata demikian semasa ditemui di konsert GV8 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, baru-baru ini.
Selain itu, penyanyi lagu Tak Tung Tuang ini juga mengaku dek kerana keistimewaan itu, empat bulan kebelangan ini dirinya sering terkena kerasukan termasuk sebelum terbang ke Malaysia untuk menyertai pertandingan di pentas GV.
“Ini kejadian betul. Saya selalu kena rasuk dan bukan satu yang cuba ‘mengambil-alih’ badan saya ini. Banyak! Setiap kali terkena, keluarga termasuk makcik dan pakcik sayalah yang akan berusaha membawa saya berubat di kampung.
“Sampai dah tak tahu nak berubat macam mana lagi sebab masih belum benar-benar pulih. Benda itu tidak dapat mengambil alih badan saya sepenuhnya, cuma separuh.
“Saya bukan tidak cuba melawan, tetapi adakala tetap tewas juga, tidak sedarkan diri,”katanya.
Berkongsi lanjut, Upiak juga tidak menolak, setelah bertemu dengan perawat-perawat alternatif dan tradisional, rata-ratanya mengatakan kejadian ini mempunyai kaitan dengan pendamping keturunannya.
“Mungkin zaman datuk nenek dulu agaknya. Kalau ada yang pernah dan tahu mengenai perkara sebegini, ia bukan sesuatu yang mustahil. Orang-orang dulu percaya pada benda begini.
“Jujurnya, saya tak boleh menolak benda ini. Kata perawat yang mengubati, kalau ditolak, saya akan jadi bodoh, seperti orang yang tak tahu apa-apa. Jadi, apa yang boleh saya lakukan ialah meletakkan penjarakkan padanya.
“Ia tidak pernah hilang dari saya, cuma ada jarak. Saya juga sentiasa amalkan ayat Kursi dan ayat-ayat suci Al-Quran sebagai pendinding. Tak cuma itu, ada juga pesanan orang lama agar saya bawa juga bawang putih dan garam ke mana-mana. Tak boleh percaya sangat, tapi kita cuba buat jugalah bagi menjaga diri,”katanya.