PETALING JAYA: Pelakon Aprena Manrose, menzahirkan rasa syukur kerana diberi peluang untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci buat pertama kali bersama suami tercintanya.
Perkhabaran tersebut dikongsikan pelakon drama Hatimu Sedingin Salju itu menerusi entri Instagram miliknya.
Menurut Aprena, dia dan suami sudah pun berada di Madinah selama empat hari dan akan ke Mekah pula, pada hari ini.
“Assalamualaikum semua pengikut saya. Saya sudah berada di Madinah selama empat hari dan akan ke Mekah esok (hari ini), InsyaAllah.
“Doakan saya, suami serta keluarga dapat menunaikan umrah dengan sempurna. Ini adalah kali pertama saya ke sini setelah lama menanti.
“Alhamdulillah, syukur Ya Allah kerana diberikan kesempatan ini dalam keadaan Covid-19 dan banjir,” katanya di Instagram.
Dalam kesempatan itu, Aprena juga meminta ampun dan maaf kepada semua kenalan andai dirinya pernah terguris hati sesiapa, sebelum ini.
“Percayalah, pasti akan ada ganjaran yang hebat dari Allah untuk orang yang bersabar dan terus solat.
“Minta ampun dari hujung rambut hingga hujung kaki jika saya ada mengguriskan hati sesiapa sahaja yang mengenali saya.
“Sila beri doa kalian di bawah, InsyaAllah mana yang sempat saya doakan ya. InsyaAllah,” coretnya panjang.
Sekadar informasi, Aprena dan suaminya, Afiq telah mendirikan rumah tangga pada tanggal 12 November 2016.