Izzul Amin lebarkan sayap ke Malaysia - Utusan Malaysia

Izzul Amin lebarkan sayap ke Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Meskipun sudah mempunyai pekerjaan sebagai anggota polis di Jabatan Marin Brunei Darussalam, Izzul Amin tetap komited untuk menonjolkan bakatnya dalam dunia seni dan hiburan.

Izzul Amin atau nama lengkapnya, Pangeran Md. Izzul Amin kini ingin mencuba nasibnya di Malaysia dengan mempertaruhkan single berjudul Bangkit.

Pemuda berusia 28 tahun itu sebenarnya seorang penyanyi yang gemar menyanyikan lagu bergenre rock, slow rock, pop rock dan balada.

“Saya mula berjinak-jinak dalam dunia hiburan sejak kecil dan banyak menyertai pertandingan dan program hiburan majoritinya melalui Radio Televisyen Brunei.

“Setelah berkarya di Brunei, saya ingin melebarkan sayap ke Malaysia. Saya telah berhubung dengan Amir Jahari yang merupakan bekas pelajar Akademi Fantasia (AF) untuk membantu mencapai matlamat itu,” kata anak keempat daripada enam beradik itu.

Amir Jahari mempunyai syarikat penerbitan sendiri iaitu Sekalo Music Production dan bernaung di bawah Luncai Emas Sdn. Bhd.

Menurut Izzul, Amir menyarankan single terbaharunya itu dikembangkan ke Malaysia serta menghantar single Bangkit ini kepada syarikat Luncai Emas.

“Saya menerima perkembangan positif dari Luncai Emas dan mereka berminat dengan single ini,” katanya.

Single tersebut telah dihasilkan di EE Studio, Brunei dan ia merupakan sebuah lagu ciptaan Ezuone berdasarkan kisah perjalanan dan perjuangan hidup Izzul sendiri.

Izzul memberitahu, lagu tersebut mengisahkan tentang perjalanan seorang anak seni yang sudah jatuh berkali-kali tetapi tetap gigih ingin mencapai impian dan kejayaan.

“Lagu itu juga memberi motivasi kepada pendengar supaya jangan mengalah dalam apa yang kita perjuangkan dan tetap berpegang kepada-Nya kerana rezeki itu sudah diatur oleh Tuhan dengan cantik,” katanya lagi.

Tambah Izzul, setelah hampir setahun menyiapkan rakaman lagu itu, ia telah dirasmikan di stesen radio di Brunei, Pelangi FM pada 5 Julai lalu.

Setakat ini, Izzul telah mengikuti tiga pertandingan yang berlangsung di Brunei iaitu Anugerah Pelangi 8, Express E-hits 2 dan Best 914.

Lagu Bangkit tercalon untuk mengikuti pertandingan Express E-hits 2 serta berjaya memasuki senarai 10 Terbaik bagi lagi inspirasi pilihan pada Anugerah Pelangi.

“Saya sangat teruja dan bersyukur kerana dapat bernaung di bawah Luncai Emas kerana peluang seperti ini susah untuk diperoleh. Terima kasih kerana memberi kepercayaan kepada saya.

“Kalau di Luncai Emas, tidak lain dan tidak bukan legenda Datuk M. Nasir. Semua orang tahu dan meminati beliau serta karya-karya beliau. Saya harap dapat bekerjasama dengan beliau satu hari nanti,” jelasnya.

Sementara itu, bercakap mengenai rancangan masa depannya, Izzul berhasrat untuk mengeluarkan lagu duet bersama isterinya, Nurul Hazimah Hamdan dan artis-artis lain di Brunei seperti Leehin, Titanz dan Alilah.

Lagu Bangkit merupakan single kedua nyanyian Izzul Amin yang telah menembusi pasaran lokal. Luncai Emas bertindak sebagai pengedar single itu yang sudah tersedia di semua platform digital sejak 12 November lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya