Filem Roh rangkul Anugerah Filem Terbaik FFM31 - Utusan Malaysia

Filem Roh rangkul Anugerah Filem Terbaik FFM31

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Filem Roh dinobatkan sebagai Filem Terbaik sempena penganjuran Anugerah Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, malam tadi.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan filem tersebut menerima Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM500,000 selain trofi yang akan disalurkan mengikut garis panduan tatacara permohonan dana industri kreatif.

Tidak cuma itu, filem indie seram terbitan Kuman Pictures Sdn Bhd itu turut menggondol anugerah dalam lima kategori lain.

Anugerah itu terdiri daripada kategori Pelakon Kanak-Kanak Terbaik yang dimenangi Putri Qaseh, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Junainah M Lojong), Lakon Layar Terbaik (Emir Ezwan), Skor Muzik Asal Terbaik (Reinchez Ng) dan Rekaan Busana Terbaik (Tengku Syahmi).

Selain Filem Terbaik, Roh arahan Emir Ezwan, menang kategori Lakon Layar Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, Rekaan Busana Terbaik dan Skor Muzik Asal Terbaik.

Penerbit Eksekutif filem Roh, Amir Muhammad, ketika ditemui di majlis tersebut melahirkan perasaan terharu dan bersyukur dalam masa yang sama lantaran tidak menyangka Roh memenangi kategori Filem Terbaik FFM31.

“Saya terharu apabila filem bajet kecil ini meraih kemenangan. Alhamdulillah, ini suatu peningkatan buat kami. Kami tidak buat filem mahal kerana tumpuan kami ialah pada penghasilan filem berbajet rendah.

“Selepas 10 tahun tidak buat filem, tak sangka kami berjaya membawa pulang anugerah ini,” katanya.

Selain itu, Amir berkata, filem Roh dihasilkan dengan gaya tersendiri hasil imaginasi pelik Emir.

“Imaginasi dan keupayaan Emir menjayakan aspek seni dalam filem ini. Biarpun pada awal ada yang cakap tidak suka kerana faham jalan cerita, tetapi apabila ditayangkan, pelbagai respons juga yang kami terima, antara suka dan tak suka.

“Ini menunjukkan kalau kita berikan kepelbagaian,  penonton akan sambut,”katanya.

Sementara itu, Amir memaklumkan dia juga sedang merangka pembikinan sebuah filem baharu bersama Emir tidak lama lagi.

Berlatarkan zaman dahulu, Roh mengisahkan kehadiran seorang kanak-kanak perempuan aneh yang membawa ramalan ngeri dan kejadian aneh kepada sebuah keluarga miskin yang tinggal di dalam hutan.

Mereka didatangi tetamu tidak diundang iaitu seorang kanak-kanak perempuan yang memberi ramalan ngeri dan pelbagai peristiwa mistik berlaku selepas itu.

Dibikin dengan bajet serendah RM360,000, filem Roh menjalani penggambaran selama 15 hari di lokasi rimba di Dengkil, Selangor.

Sebelum ini, Roh dipilih mewakili Malaysia ke Anugerah Akademi Ke-93 bagi kategori Filem Antarabangsa.

Dalam pada itu, antara filem yang memberi saingan hebat pada FFM31 kali ini ialah Sangkar arahan Kabir Bhatia yang berjaya membawa pulang empat trofi menerusi empat kategori.

Kemenangan Sangkar diraih menerusi kategori Pengarah terbaik (Khabir), Pelakon Lelaki Terbaik (Zul Ariffin), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Remy Ishak), Penataan Seni Terbaik (Nasrul Asraff Mahzan) dan Tatarias Terbaik (Ella Sandera).

Anugerah Pelakon Wanita Terbaik dimenangi oleh Sinje Lee menerusi The Garden Of Evening Mists.

Anugerah Khas Karyawan Sepanjang Zaman menjadi milik pengarah, pelakon dan penggiat teater Fauziah Nawi. Anugerah Khas Penggiat Belakang Tabir pula dimenangi komposer terkenal Ahmad Nawab.

Acara FFM31 dengan tema Citra Sinema menyaksikan sebanyak 55 filem dipertandingkan bagi merebut tempat terbaik dalam 28 kategori.

Pemenang setiap kategori menerima hadiah wang tunai RM5,000 beserta trofi.

Finas sebelum ini menerima penyertaan 32 buah filem bahasa Melayu, lapan bahasa Mandarin 11 bahasa Tamil, serta empat dalam bahasa-bahasa lain, menjadikan jumlah keseluruhan adalah 55.

FFM31 dianjurkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN