KUALA LUMPUR : Penyanyi rap dan usahawan selebriti popular, Caprice, 33, memaklumkan isterinya, Farra Inalis Hussni, 26, kemungkinan mengalami tekanan dan kepenatan keterlaluan yang menjadi punca dirinya tiba-tiba rebah dalam kejadian semalam.
Menurut Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli, 33, dua hari lalu isterinya ada mengadu mengalami sakit kepala namun menganggap ia tidak terlalu serius memandangkan sejak dari kecil, Elis mempunyai masalah tekanan darah rendah.
“Dua hari lepas, kami memang pulang lewat dari pejabat. Sebelum nak makan, dia ada mengadu pening dan tiba-tiba, bila dia nak pergi ambil sesuatu di dapur, dia rebah dan tak boleh bergerak.
“Elis cuma cakap dia tak nampak apa-apa, pandangannya jadi kabur selain dengar deringan di telinganya. Saya tak tunggu lama, terus bawa dia ke hospital,”katanya semasa dihubungi Utusan Malaysia malam tadi.
Selain itu, kata Caprice, semasa menerima rawatan di hospital, doktor yang merawat memberitahu kemungkinan Elis disyaki mengalami vertigo selain dinasihatkan untuk dibawa berjumpa dengan doktor pakar atau kardiologi.
“Saya rasa, dua minggu kebelakangan ini, sejak kami merasmikan bisnes balik, memang Elis terpaksa ikut jadual dan cara saya bekerja. Kadang-kadang sampai dua pagi kami bekerja.
“Jadi, mungkin antara sebab dia jadi begitu kerana keletihan melampau. Mungkin dia tak biasa dengan cara kerja saya.
“Tambahan pula, sejak kami berkahwin, akaun TikToknya memang selalu kena serang oleh warganet. Jadi, dia sudah lama menanggung tekanan dan stres mungkin,”katanya.
Dalam pada itu, Caprice tidak menolak kemungkinan akan membawa isteri dan anaknya, Aleesya Sofea, 5, pergi bercuti pada tahun depan untuk merehatkan diri dan keluar daripada kesibukan jadual masing-masing.
Semalam, Caprice, ada berkongsi satu rakaman video ringkas di Instagramnya yang memaparkan isterinya, Elis, terbaring dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital.
Menerusi kapsyen yang dikongsikan, Caprice menyalahkan diri sendiri kerana sejak berkahwin, Elis baginya, sudah kehilangan hak privasi dan bertalu-talu menerima serangan kecaman daripada warganet kerana isu seksi dan sebagainya.
Menerusi hantaran itu juga Caprice meminta agar semua pihak berhenti mengecam isterinya dan keluarga.