BEG berjenama, pakaian mahal, berkenderaan mewah. Itu cerminan hidup selebriti yang pada sangkaan umum, kaya raya dan berharta. Persoalannya, benarkah penggiat seni tempatan semua ‘berduit’? Kalau di Hollywood atau Bollywood, mungkin sekali? Jadi kupasan Hangat Seminggu ini, kami nak tanya, kaya ke artis Malaysia?
Bagi pelakon Amar Baharin, dia turut menafikan semua artis tanah air ini berharta atau kaya raya. Jelas Amar, ada juga rakan selebriti yang hidup sederhana walaupun sudah lama menapak dalam industri ini.
“Apa yang kita nampak dalam media sosial, ia bukan seratus peratusnya betul. Dunia sosial media, semua perkara yang cantik nak dikongsikan. Kalau nak kata semua artis itu berharta, saya tidak rasa perkara itu betul.
“Hal ini kerana, ada juga dalam kalangan kenalan saya yang masih menyewa rumah dan aras kehidupan yang sederhana. Masih ada lagi. Jadi, saya tidak boleh nak mengandaikan semua artis itu berharta,” tuturnya ketika ditemu bual.
Pelakon drama Hati Yang Dikhianati ini juga mena kan ada segelintir pelakon yang jarang tampil di layar skrin ialah golongan selebriti yang kurang berharta.
Malah, kebanyakan mereka mula menyedari untuk memulakan perniagaan agar ada masa hadapan yang lebih terjamin.
“Kalau ada segelintir artis yang kurang menerima job berlakon, mungkin ada pendapatan lain. Kita tidak boleh mengandaikan jika seseorang artis itu tidak berlakon, bermakna dia miskin.
“Rezeki datang daripada Allah, pelbagai jalan yang didatangkan kepada kita. Ada segelintir mereka yang jarang keluar di kaca televisyen, namun mereka ada perniagaan sendiri yang lumayan dan terjamin,” ujarnya lagi.
Suami kepada pelakon Amyra Rosli ini turut mengakui golongan artis antara yang paling terkesan sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Amar berkata, ia adalah peringatan buat semua orang yang masih mempunyai stigma dan pemikiran yang sama berhubung semua golongan artis hidup dalam kemewahan.
“Kita tidak perlu try hard hendak menunjukkan kepada netizen tentang status artis. Sewaktu PKP sebelum ini, kita dapat lihat golongan artis ini bagaimana. Artis ialah golongan paling terkesan semasa PKP.
“Kami juga perlu membayar cukai walaupun bukan golongan B40 dan sebagainya. Bantuan yang ada pada waktu itu semuanya atas dasar kasihan antara sahabat-sahabat. Jadi apa yang saya nampak, macam ini sahaja sebenarnya tahap golongan artis ini.
“Jadi, tidak perlulah nak sanjung kerana kami ini pun manusia biasa yang perlu bekerja untuk mendapatkan duit,” katanya.
Bukan semua hidup senang – Pasya Mentor
Penyanyi berbakat, Pasya Mentor berpandangan bukan semua artis memiliki kehidupan mewah seperti disangka kebanyakan orang.
Kata peserta Lagu Cinta Kita musim ketiga ini, penampilan mewah bergaya seseorang artis ketika muncul di TV atau media sosial tidak menentukan mereka berduit atau pun tidak.
“Nama sahaja artis, bukan semua hidup senang. Orang tengok artis di TV, pakai baju cantik-cantik.
“Tetapi masyarakat tak tahu, penampilan artis itu ada yang ditaja dan bukan milik sendiri,” katanya.
Tambah Pasya, begitu juga sebaliknya. Tidak semestinya artis yang jarang ke depan atau kurang mendapat publisiti itu tidak kaya.
“Contoh penyanyi. Ada tak popular, tetapi menerima banyak undangan nyanyian. Yang popular, selalu keluar program di TV tak semestinya di luar, mereka dapat banyak undangan menyanyi,” katanya lagi.
Katanya, bayaran pula adalah ditentukan mengikut jenama atau pengalaman artis berkenaan.
“Kadang-kadang, ada artis baru nak menapak, pergi rakaman di stesen TV, bayaran tak dapat, hanya diminta promosikan rancangan sahaja.
“Ada pihak, kebajikan artis pun mereka tak jaga. Hanya menjanjikan platform sahaja. Bayaran tak beri. Cuba bayangkan, artis itu hendak makan apa?” luahnya.
Selain itu, Pasya juga tidak mena kan perbelanjaan seseorang artis juga seperti orang lain, bukan sedikit. Katanya, dia sendiri perlu mengeluarkan belanja besar untuk menjaga jenamanya yang menjadi sebahagian keutamaan penggiat seni.
“Saya perlu berbelanja sekitar RM5,000 untuk baju. Jurusolek, pembantu peribadi, pengurus serta kru media sosial juga perlu dibayar.
“Semua pakai duit sendiri, meskipun saya busking sahaja. Duit simpanan hasil busking dan persembahan banyak dilaburkan untuk keperluan-keperluan tersebut.
“Duit yang digunakan banyak. Jadi kalau orang kata semua artis boleh kaya, itu belum tentu betul,” ulasnya.
Ibu marah kalau berbelanja RM3,000 ke atas! – Iman Troye
Dilihat sebagai antara artis muda yang berjaya, penyanyi popular, Iman Troye, menganggap setiap individu mempunyai rezeki masing-masing dalam hidup mereka.
Malah, ukuran kejayaan dalam setiap individu juga mungkin berbeza dan ia terpulang kepada seseorang itu sama ada mahu berkongsi kegembiraan atau kejayaan mereka dengan apa cara sekali pun.
“Bagaimanapun saya tidak menidakkan, mungkin ada yang suka bersikap terlalu menunjuk-nunjuk terutama dalam media sosial.
“Bagi mereka, mungkin memang nak orang tahu itu adalah hasil usaha dan titik peluh mereka. Tak kiralah barang-barang mewah atau dari segi apa sekali pun,”katanya.
Selain itu, kata penyanyi lagu Nang ini, media sosial juga adakala menjadi ‘tempat’ berbahaya dalam berkongsikan sebarang perkara kerana ia membuatkan pemilik akaun itu terdedah dengan penilaian dan hukuman orang.
“Kalau saya, lebih baik simpan sahaja untuk diri sendiri kalau betul kita memang mampu membeli atau memiliki sesuatu. Tapi berbalik kepada niat seseorang itu. Hak mereka hendak tunjuk atas dasar apa sebab mungkin memang itu cara mereka hargai kejayaan sendiri.
“Ada juga yang mungkin menjadikan media sosial sebagai diari mereka, mana tahu bukan? Tapi kalau saya, lebih selesa pilih untuk low-pro le. Nak beli barang berjenama, mak saya marah tahu tak!
“Kalau berbelanja cecah RM3,000 ke atas, memang dia akan bising. Setiap perbelanjaan mak yang akan pantau dan dia pegang 100 peratus duit saya. Nak beli sesuatu, memang saya akan tanya dia dulu,” terangnya.
Dalam pada itu, Iman tidak kisah kewangannya dikawal oleh ibu kerana percaya orang tuanya lebih tahu dan sentiasa memberi nasihat bermanfaat padanya dari aspek tersebut.
“Kalau mereka nasihat itu ini, memang ada sebabnya. Orang tua lebih tahu asam garamnya. Lebih baik simpan duit demi masa depan daripada dihabiskan pada waktu muda namun masa depan kita pula yang kosong,”katanya.
Tiada siapa nak kongsi yang buruk-buruk – Mia Ahmad
Tidak menafikan kewujudan Instagram (IG) membuatkan peminat kini lebih mudah untuk mengikuti perkembangan selebriti tanah air. Pada masa sama, artis juga berkongsi perihal karier dan peribadi mereka.
Namun, sebagai artis yang menjadi tumpuan ramai, siapa sahaja berani mendedahkan perkara indah khabar daripada rupa.
Menurut pelakon Mia Ahmad atau nama penuhnya Samihah Ahmad Baderi, 33, ramai ambil peluang menggunakan platform media sosial untuk berkongsi resipi yang ‘lazat’ sahaja.
“Melainkan ada yang menggunakan media sosial untuk luahan rasa atas sesuatu perkara.
“Tapi selalunya memang pengguna akan tunjukkan yang indah-indah sahaja, berapa peratus sahaja yang mahu kongsi yang tidak indah itu.
“Sebagai artis takkan nak maklumkan kita tidak ada job?,” katanya.
Jelasnya lagi, khalayak menganggap selebriti ini ada kehidupan yang senang dan indah sahaja hanya kerana status.
“Jika dulu, Facebook digunakan sebab nak kongsi status, Instagram pula lebih kepada perkongsian gaya hidup seseorang.
“Jadi takkanlah nak muat naik yang buruk-buruk? Rasanya sudah menjadi budaya Barat pengguna memang akan muat naik yang menarik di pandangan mata sahaja,” jelasnya.