PETALING JAYA: Penyanyi, Amzar Sabri memohon kepada netizen agar berhenti menuduh kekasihnya juga penyanyi rap, Bunga Isme sebagai punca keretakan hubungan cinta antara penyanyi Ismail Izzani dengan bekas kekasihnya, Shalma Eliana.
Kata Amzar, dia kesal apabila Bunga atau nama sebenarnya Noor Ayu Fatini Mohd. Bakhari dikaitkan dengan situasi berkenaan sehingga menjadi buah mulut dan kecaman orang.
“Kepada netizen di luar sana tolonglah jangan buat berita yang palsu tentang Ismail Izzani dengan Shalma Eliana itu, itu hal dia orang.
“Tak tahu cerita, jangan buat-buat cerita. Tak pasal-pasal Bunga Isme pula kena.
“Saya tak marah, tetapi benda ini sebenarnya perkara kecil,” katanya di Instastory.
Pada masa yang sama Amzar juga berharap mereka yang menyebarkan cerita palsu agar segera memadam perkongsian berkaitan.
“Tolonglah fikir baik-baik, sebab kita ini tak lama hidup. Jadi kalau engkau orang tak sempat nak minta maaf nanti, jawabnya dekat padang Mahsyar lah ceritanya kan.
“Jadi saya harap engkau orang padam dan lupakan cerita itu, sebelum benda itu jadi rumit. Benda ini sangat simple.
“Dia orang dah putus, itu masalah dia orang. Tetapi jangan campur aduk dengan Bungan atau apa benda semua. Itu tidak betul. Kejadian yang orang nampak itu, memang dia ada dekat situ, tetapi saya pun ada (di situ),” ujarnya.
Sebelum ini Bunga yang popular dengan lagu Intan Payung tampil menafikan dirinya menjadi punca putusnya hubungan pasangan selebriti tersebut.
Menerusi ciapan Twitter, Bunga menafikan sekeras-kerasnya dan berharap netizen tidak menyebarkan fitnah.
“Jawapannya, bukan aku. Jangan sebarkan fitnah,” tulisnya ringkas.