PETALING JAYA: Juara Hero Remaja 2021, Mierul Aiman menzahirkan rasa syukur dan gembira selepas berjaya menewaskan tiga lagi finalis program popular itu.
Menurut Mierul, sejak kecil lagi dia sudah memasang impian menjadi seorang penghibur tanah air.
Maka, segala usaha dan hasratnya untuk diangkat sebagai seorang anak seni kini menjadi kenyataan.
“Detik indah. Terima kasih Tuhan, atas ruang dan peluang. Tarung berhabis! Dari kecil aku mengimpikan untuk menjadi seorang penghibur.
“Bagi aku, dengan menghiburkan manusia, cukup untuk menghiburkan jiwa aku. Kepercayaan pada diri aku itu besar, sehinggakan bersetuju dengan kegagalan yang menemui aku,” coretnya.
Dalam pada itu, jejaka berusia 23 tahun ini turut menitipkan penghargaan buat semua pihak yang terlibat kerana sentiasa menjadi tulang belakang buat dirinya.
“Semalam mimpi aku bermesra dengan realiti. Terima kasih Tuhan, atas hadiah magis ini. Aku percaya dengan ketentuan-Mu.
“Hanya diri sendiri yang dapat menyinari dan menggelapkan sesebuah pengembaraan. Terima kasih kepada semua yang menyokong ‘roller coaster’ kehidupan aku.
“Setiap seorang daripada kalian aku cinta. Kita tarung berhabis sekarang demi cita-cita, angan serta mimpi. Dengan izinNya dan isi ku,” katanya penuh makna di Instagram.
Sekadar informasi, seiring dengan kemenangan, dia membawa pulang wang tunai bernilai RM 10,000, sebuah trofi serta selempang.
Tempat kedua pula dimenangi oleh Aqil Taqee yang juga dipilih sebagai pemenang gelaran Hero Inspirasi bagi edisi kali ini.
Fazziq Muqris diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga dan secara tidak langsung Afiq Hilman berada di kedudukan keempat.