Teraju baharu Finas: Apa kata mereka? - Utusan Malaysia

Teraju baharu Finas: Apa kata mereka?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELANTIKAN baharu Profesor Dr. Md. Nasir Ibrahim bagi mengisi kerusi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang ditinggalkan kosong oleh Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri sebelum ini nampaknya masih menjadi bahan bualan ramai terutama orang dalam industri.

Seiring dengan pelantikan itu, sudah tentu ia juga satu tanggungjawab berat untuk dipikul memandangkan sebelum ini pun, bukan sahaja Idham, sesiapa sahaja yang mendudukinya juga pasti akan berdepan dengan kritikan.

Ia terutamanya dalam bab-bab pengurusan dan ketelusan dalam membangunkan industri seni tanah air terutamanya Finas, sebagaimana yang diketahui, memainkan peranan penting di posisi tersebut.

Bagaimanapun, lantikan dua tahun itu tentunya menyaksikan Nasir sebagai sasaran ramai penggiat seni kreatif yang menyimpan sejuta harapan tinggi agar industri seni dapat dibangkitkan daripada segala kelesuan yang sekian lama membelenggu.

Berikut adalah antara pandangan dan harapan wajah-wajah anak seni kita.

“Harap lebih baik, setanding pentadbiran sebelum ini” – Jasmin Hamid

Menurut pelakon berkaliber, Jasmin Hamid, dia meletakkan harapan agar pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas yang baharu, setanding dengan tampuk pimpinan lama.

Jelas pelakon drama Cukup Derita Itu, dia memegang harapan agar Nasir sebagai CEO baharu dapat membantu dan mempertahankan anak-anak seni jika berlaku sebarang permasalahan melibatkan industri ini.

“Harapan saya jika boleh lebih bagus atau setanding dengan Ahmad Idham. Malah, dapat membantu serta mempertahankan anak-anak seni.

“Seperti Ahmad Idham, sebelum ini dia fight untuk kita kembali membuat penggambaran semasa Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) serta memberi dana sama rata.

“Lagi pun anaknya, Anzalna Nasir juga seorang pelakon, dia mesti tahu bagaimana rasa perjuangan anak seni ini,” katanya ketika ditemu bual.

Dalam pada itu, Jasmin turut berpendapat pelantikan baharu itu tidak dilakukan secara semberono kerana menyifatkan Nasir mempunyai kelebihan tersendiri sehingga dipilih Finas.

Malah, pelakon itu juga berharap agar prosedur operasi standard (SOP) untuk membuat penggambaran sebaiknya dilonggarkan sedikit agar dapat memudahkan kebanyakan pekerja dalam industri tersebut.

“Bagi saya, Finas lebih tahu sebenarnya kerana bukan suka-suka hati untuk melantiknya, mesti ada kelebihan pada dia sehingga dipilih.

“Selain itu, jika boleh, SOP sedia ada ini janganlah terlalu ketat sangat sampai kami ini tidak boleh nak bernafas.

“Selaraskan perkara berkenaan agar semua mematuhi tanpa ada seorang yang tercicir,” ujarnya.

Dia perlukan masa mendalami dan memahami masalah dalam industri – Afdlin Shauki

Bagi pengarah dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki, sebagai karyawan, dia mengalu-alukan pelantikan Md. Nasir Ibrahim selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas yang baharu.

Namun katanya, sebagai seorang yang datang dari luar industri perfileman, beliau perlukan masa untuk memahami selok belok dan isu-isu yang sering dibangkitkan dalam industri.

“Kami sebagai karyawan amat mengalu-alukan kerana beliau memiliki latar belakang dan pengalaman dalam bidang akademik yang bagus.

“Namun, dunia perfileman ini banyak cabang dan perkara berbangkit yang perlu diberi perhatian.

“Jadi, mungkin beliau perlukan masa untuk mendalami dan memahami permasalahan dalam industri,” katanya.

Dalam pada itu, Afdlin turut mencadangkan agar tempoh pelantikan jawatan berkenaan dapat dikaji semula.

“Tempoh pelantikan sekarang ini terlalu singkat. Mungkin, ia boleh dilanjutkan.

“Saya berpendapat beliau harus diberi masa. Kalau bagus, mungkin boleh kekalkan, namun kalau sebaliknya, boleh ditukar.

“Saya tidak mengenali beliau secara peribadi. Mungkin, pelantikan beliau akan membawa perubahan kepada Industri,” ujarnya.

Letak siapa pun, pasti dikritik – Eizlan Yusof

Turut sama menyambut baik berita ini, Pengerusi Jawatankuasa Skim Wajib Tayang Finas, Datuk Seri Eizlan Yusof yakin seluruh lembaga pengarah termasuk dirinya akan membantu memberi kerjasama penuh terhadap Md. Nasir dalam memacu industri perfileman tanah air.

Pada masa sama, katanya, memang sudah banyak perancangan yang sudah dibuat oleh pihak Finas namun kesemuanya terbantut di peringkat pelaksanaan kerana akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
“Kita akan bekerjasama dengan CEO baru dan telah merangka satu sesi pembentangan perancangan Finas dalam masa terdekat.

“Ia penting untuk dia tahu akan agenda dan juga pelan-pelan perancangan yang telah disediakan bagi memperkasakan industri seni tanah air,”katanya.

Selain itu, meraih pandangannya berhubung posisi itu yang dianggap ‘panas’ dengan tembakan kritikan dari pelbagai arah, Eizlan menganggap ia lazimnya berlaku kepada sesiapa sahaja yang mengisi jawatan itu.

“Letak siapa pun pastinya tetap akan ada kritikan. Tapi paling penting sekali adalah keberkesanan perancangan yang telah dibuat oleh seluruh pasukan Finas dan hasilnya. Sebenarnya banyak perancangan yang sudah diatur tetapi disebabkan darurat, parlimen digantung dan sebagainya, banyak yang terpaksa ditangguh.

“Ada juga pelan yang memerlukan dana daripada Kabinet tapi pada masa yang sama kita tidak menidakkan soal kebajikan dan kelangsungan industri memandangkan majoriti orang industri adalah pekerja kontrak.

“Kita sentiasa berbincang dengan pihak kementerian untuk mencari jalan terbaik bagi menaikkan dan mengaktifkan industri terutama selepas pandemik kini yang beransur membaik,”katanya.

Dalam pada itu, Eizlan juga mengharapkan seluruh penggiat seni kreatif negara dapat memberi sokongan penuh kepada pihak Finas selain rasional membuka mata untuk melihat usaha yang telah dan sedang dilakukan bagi menggerak dan mengangkat industri seni tempatan.

Jangan jadi lalang, berlaku adillah – Ayu Puteh

Tidak meletakkan harapan setinggi gunung, apa yang penting bagi penerbit terkenal, Datuk Normashayu Puteh, pelantikan Md. Nasir dapat memberi nafas baharu dalam sektor kreatif.

Lebih mesra disapa Ayu Puteh, dia me­nyi­fatkan Md. Nasir seorang yang bukan calang-calang dan berharap beliau dapat mengkaji permasalahan yang belum selesai.

“Kalau boleh yang baharu ini kajilah apa keperluan untuk perfileman dan drama serta yang berkaitan. Begitu juga dengan isu-isu yang belum selesai sebelum ini.

“Secara peribadi saya tidak begitu mengenali beliau. Tapi dengan apa yang telah saya baca mengenai latar belakang dan pencapaiannya, beliau seorang yang arif.

“Bahkan, hasil pertemuan saya dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, beliau turut menyatakan kepercayaan kepada CEO baharu,” ujarnya.

Harapan Ayu Puteh lagi, selepas menyaksikan kerusi CEO Finas bersilih ganti, dia juga berharap agar Nasir dapat berpegang pada prinsipnya.

“Tidak mahulah duduk di kerusi itu dan jadi lalang. Berlaku adillah, saya percaya individu yang duduk di kerusi itu tahu tugasnya.

“CEO ini juga bertindak sebagai mulut atau suara kepada warga industri. Jangan sudah ramai yang tidak puas hati pasal sesuatu isu baru nak bertindak,” katanya.

Sementara itu, mengenai bajet dalam sektor kreatif, Penerbit Pencil Pictures & Records Sdn. Bhd. ini menegaskan agar ciri-ciri yang layak dapat dana seharusnya diperhalusi dan beri peluang kepada pemain lain.

“Jangan bagi orang yang tidak layak dan orang sama, mereka mungkin sekadar bayar hutang. Orang lain tidak ada peluangkah?” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya