KUALA LUMPUR : Penyanyi dan komposer terkenal tanah air, Altimet, 42, menegaskan dia tidak mahu terlibat dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal berlangsung pada 20 November ini.
Menurut Altimet atau nama sebenarnya, Syed Ahmad bin Syed Abdul Rahman Alhadad, perkara itu secara spesifiknya merujuk kepada pelawaan untuk menghasilkan lagu bagi mempromosi sebarang pihak yang akan bertanding sempena penganjuran PRN tersebut.
“Saya tolak pelawaan untuk menulis lagi PRN Melaka ini. Kes varu Covid-19 masih tinggi. Sekarang ini adalah masa yang salah untuk bubarkan mana-mana kerajaan negeri untuk buat PRN.
“Saya tak nak terlibat,”katanya dalam satu ciapan di Twitter hari ini.
Altimet berkata demikian ketika ada antara pengguna media sosial tersebut menanda namanya di satu ruangan Twitter lain yang memaparkan sebuah video nyanyian penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman mempromosikan lagu berjudul Ini Rumah Kita.
Difahamkan, video nyanyian Yassin itu dihasilkan untuk parti Pakatan Harapan.
Antara ciapan yang dibuat oleh pengguna Ehsan Kimie itu menyebut seperti berikut.
“Hey Yasin ke ini yang nyanyi! Lama tak mendengar pasal dia. Bila @altimet nak buat lagu untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau Pakatan Harapan (PH) ini?”katanya.
Perkongsian Altimet itu telah menarik perhatian pengikut dan peminat yang menganggap dia merupakan seorang penyanyi rap yang mempunyai prinsip.
“Sokong pendirian dan keberanian Altimet walaupun daripada permintaan parti. Penyanyi rap yang betul-betul berjiwa rakyat,” tulis Alifstyle.
“Bagus! Artis patut gunakan seni mereka untuk menegakkan atau memperjuangkan sesuatu. Artis juga boleh memilih untuk tidak menggunakannya untuk memperjuangkan apa-apa agenda pihak tertentu,” tulis pengguna bernama Azari Mat HYasir.
“Rapper berjiwa rakyat,” tulis pengguna Bicara Krypto.