KUALA LUMPUR : Pelakon, Puteri Aishah,27, selamat melangsungkan majlis pernikahannya dengan ahli perniagaan, Muhammad Firdaus,28, pada majlis yang diadakan di Ballrooms JW Marriot, Kuala Lumpur jam 11:15 pagi tadi.
Puteri atau nama sebenarnya Puteri Aishah Sulaiman telah dinikahkan oleh Qadi Ustaz Mohd Abdul Nasir Abdullah dengan disaksikan bapanya,Sulaiman Abd. Rahman.
Pada majlis tersebut, Puteri menerima mas kahwin berjumlah RM300 serta lima dulang hantaran daripada pihak lelaki sementara pihak perempuan menyerahkan tujuh dulang.
Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga.
Puteri berkata, dia sudah lama menantikan saat ini dan berharap ikatan perkahwinan yang terjalin akan berkekalan hingga akhir hayat.
“Alhamdulillah majlis dirancang berjalan lancar selepas beberapa kali ditangguh akibat pandemik Covid-19. Saya bersyukur apabila impian kami untuk melihat perkahwinan ini disaksikan oleh keluarga kedua belah pihak tercapai.
“Saya dan suami juga memohon maaf kerana tidak dapat menjemput rakan-rakan artist yang lain atas sebab Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan(PKPP),”katanya.
Menurut Puteri, Firdaus di matanya memiliki ciri-ciri lelaki idamannya selain menyukai keperibadiannya.
“Sepanjang dua tahun mengenali Firdaus, saya lihat dia seorang yang baik dan mengutamakan keluarga. Dia sangat menyayangi dan meletakkan keluarganya nombor satu.
“Malah, dia juga sentiasa menyokong minat saya dalam bidang lakonan. Dia juga sudah bagi lampu hijau dimana saya boleh teruskan kerjaya ini selama mungkin,”katanya.
Majlis yang diadakan secara sederhana membabitkan keluarga dan kenalan terdekat kedua belah pihak itu menyaksikan Puteri dan Firdaus mengayakan busana berwarna putih yang direka oleh RizmanRuzaini .
Dalam pada itu, majlis resepsi pasangan bahagia ini bakal diadakan di JW Marriot, Kuala Lumpur, malam ini.