KUALA LUMPUR : Meraih jumlah tontonan sebanyak 1 juta untuk video muzik berjudul Nang dalam tempoh enam hari, penyanyi muda, Iman Troye,19, menganggap ia juga adalah satu kejayaan yang menggembirakan buat dirinya.
Menurut penyanyi dengan nama sebenarnya, Siti Nur Alyssa Sahabudin, meskipun ada yang menganggap ia cuma satu perkara yang kecil, namun baginya kejayaan itu teramat bererti buat artis baharu sepertinya.
“Untuk mencipta trek rekod sebegini, dengan mendapat 1 juta tontonan dalam tempoh kurang seminggu menerusi lagu Nang, termasuk dua lagu sebelum ini Teman dan Pejam Celik Hari Raya, ia sesuatu pencapaian peribadi yang cukup luar biasa bagi saya.
“Tambahan pula ketiga-tiga lagu itu yang mendapat sentuhan komposer Ezra Kong dan lirik A Ramlee dilancarkan di era pandemik Covid-19. Jadi, kita semua sedia maklum ketentuan pasaran muzik itu sendiri tidak mampu ditebak hala tujunya ketika ini.
“Namun saya harus berterima kasih kepada semua yang menjadikan semua ini kenyataan. Terutama peminat serta rakan media yang tidak putus putus memberikan sokongan,” katanya.
Selain itu, kata Iman, dia juga berbesar hati kerana majlis pelancaran lagu tersebut baru-baru ini juga telah mendapat sokongan penuh pihak tuisyen PTTI yang turut menyaksikan dirinya sebagai duta baru PTTI.
“Saya anggap kehadiran lagu pop Melayu berentak Jawa dan ada sentuhan tradisional ini lebih manis kerana pihak PTTI juga sudi melancarkannya.
“Malah tugas sebagai duta pusat ilmiah itu datang dengan tanggungjawab. Saya sendiri bergelar pelajar peringkat Diploma dalam bidang muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Saya harap dapat terus mengimbangi seni dan pelajaran sebaik mungkin.
“Saya harap selepas ini peminat akan lebih menyokong karya tempatan dan boleh membuatkan video muzik lagu nyanyian yang lain mendapat tontonan satu juta juga tetapi dalam masa kurang sehari seperti penyanyi antarabangsa lain,”katanya.
Dalam pada itu, Iman juga mengaku bukan mudah untuk membawakan lagu berirama tradisional campuran moden seperti Nang dan sebagai artis dia juga berdepan dengan cabaran ketika menyanyikannya.
Pun begitu, dia berasa beruntung kerana berpeluang membawakan lagu pop Melayu seperti itu dan berharap dapat terus memperjuangkan karya-karya muzik tempatan.
Untuk rekod, lagu Nang diterbitkan oleh XO House Sdn Bhd dan mendapat kerjasama Universal Music Malaysia.
Difahamkan, video muzik single ketiga Iman ini membabitkan kos perbelanjaan lebih RM100,000 untuk pembikinannya.
Video muzik arahan Lily Samsuddin ini turut menampilkan sisi bakat tari Iman yang dikoreografi Aus daripada Nasty Rock Crews manakala Adib Hamdi dan Alia Elena pula bertindak sebagai Penerbit Eksekutif.
Nang juga dikolaborasikan oleh Hotlink yang menawarkan pengalaman hiburan tanpa henti dengan menguasakan hiburan tempatan dalam laman sosial kegemaran Malaysia seperti YouTube, Facebook, Instagram dan TikTok.
Menerusi kolaborasi itu, jenama telekomunikasi itu memantapkan penguasaan hiburan mereka dan menginspirasikan semangat #BikinSampaiJadi sekali gus memberikan peminat hiburan tempatan lebih banyak kandungan eksklusif dan pengalaman terbaik.
Terdahulu, penyanyi genit bertudung itu turut berjaya meraih 4X Platinum bersamaan RM1 juta membabitkan ‘talent management revenue’ termasuk persembahan dalam lagu Teman dan Pejam Celik Hari Raya.