Jangan anak tirikan pelakon lama - Liza Abdullah - Utusan Malaysia

Jangan anak tirikan pelakon lama – Liza Abdullah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ketika era 80-an, nama pelakon wanita ini sering meniti di bibir peminat seni tanah air. Bukan kerana gosip murahan atau pun menjaja sebarang kontroversi, tetapi bakat lakonan yang dimilikinya ketika itu. Bergandingan bersama pelakon-pelakon bernama besar, sedikit sebanyak berjaya melonjakkan dirinya. Bukan menumpang populariti, tetapi mencari peluang memahat nama.

Sehingga ke hari ini bakatnya tetap berkembang dan bersinar. Dia bukan sahaja berjaya bersaing dengan ratusan pelakon baharu sedia ada, malah kelebihan bakat yang dimiliki sering ditagih oleh ramai penerbit filem dan drama untuk melariskan karya mereka.

Pendek kata, berilah apa sahaja watak untuk wanita ini, pasti akan direalisasikan sebaik mungkin.

Bersama Khabar Legenda, pelakon sohor Liza Abdullah, 57, berkongsi cerita tentang perjalanan seninya dari awal pembabitan kerjaya sehinggalah ke hari ini.

“Seawal era-80 an lagi saya sudah ceburkan diri dalam bidang seni. Saya bukanlah lahir daripada keluarga senang, waktu habis sekolah memang fikir nak cari kerja dan duit untuk bantu keluarga walaupun ketika itu arwah ayah dah rancang untuk saya sambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Peluang saya datang apabila menemankan seorang rakan ke pertandingan Ratu EJA. Ketika itu ada seorang wartawan interview dan ambil gambar saya untuk ruangan remaja di sebuah akhbar tempatan. Sebaik tersiar saya dihubungi oleh pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM). Mereka tanya saya nak cuba berlakon atau tidak,” katanya memulakan perbualan.

Menganggap itu adalah permulaan rezekinya, dia tidak menolak, malah cuba membuktikan kemampuan agar kehadirannya mampu membuka mata mereka yang mengadilinya. Tanpa disangka apa yang dijayakan mendapat pujian. Kata-kata semangat dan dorongan yang diterima dijadikan azimat untuk lebih berkeyakinan lagi.

“Waktu itu saya rasa cukup seronok kerana sebagai orang baru yang tiada pengalaman saya dapat berlakon drama bangsawan dan bergandingan dengan pelakon dan penyanyi hebat seperti Azlina Aziz dan Hail Amir. Saya juga sempat berlakon dua zaman, iaitu ketika TV bersiaran hitam putih dan warna.

“Sebenarnya saya lebih meminati bidang nyanyian, tetapi rezeki lebih tertumpu ke bidang lakonan. Saya kena percaya setiap rezeki yang hadir itu diaturkan Allah SWT. Siapa kita mahu menolak setiap perancangannya? Apa yang berlaku adalah izinnya. Jadi saya tetap bersyukur atas segala nikmat yang diterima,” katanya.

Anak kelahiran Keramat, Kuala Lumpur ini sentiasa nekad untuk terus mengejar impian. Tidak pernah wujud rasa mengalah dia sentiasa mencari ruang untuk merealisasikan cita-citanya sebagai penyanyi walaupun di kala itu kerjaya lakonan sudah dilihat sukses buat dirinya.

Pada 1988, dia muncul dengan album pertama Semalam Yang Indah sentuhan komposer ternama Datuk Akhbar Nawab. Rilisan ini dilihat cukup sempurna dan berkualiti apabila dibantu oleh beberapa nama besar dalam industri seperti Habsah Hassan dan Juwie, namun tuah kurang memihak kepadanya kerana peminat seakan lebih menerimanya di layar perak.

“Kita dah mencuba, namun rezeki bukan di situ. Walaupun tidak mempelajari teknik dalam bidang nyanyian tetapi saya puas apabila berjaya punya album sendiri dan mampu menyanyikan lagu-lagu dalam filem lakonan saya seperti Marah-Marah Sayang dan Pagar-Pagar Cinta.

“Sehingga kini pun saya masih dijemput untuk menyanyi dalam pelbagai acara. Saya tidak kekok malah pernah berada satu pentas bersama penyanyi terkenal seperti Zur Eda, Ramlah Ram, Norshilla Amin, Hayarti Tasrip dan ramai lagi,” katanya.

Muka cantik tapi berlakon macam kayu

Hampir 40 tahun berada dalam bidang seni, ibu kepada empat anak ini mengakui sering mendengar keluh kesah melibatkan pelakon veteran yang dikatakan tidak mendapat layanan setimpal daripada penerbit filem dan drama terutamanya melibatkan soal bayaran.

Tidak mahu menuding jari menyalahkan mana-mana pihak, dia berharap agar apa yang berlaku perlulah dibawa ke meja perundingan untuk mencapai kesepakatan. Menurutnya, dalam industri yang terhad dan kecil ini seharusnya perlu ada sikap menang-menang dan toleransi melibatkan produksi dan pelakon.

“Kadang-kadang saya lihat ada juga orang di produksi ini yang tidak tahu taraf seseorang artis ini. Mereka hanya tawarkan bajet sedia ada tanpa memikirkan siapa artis tersebut. Artis lama ini bukannya nak demand sangat, yang penting biarlah berbaloi. Hargailah bakat mereka ini.

“Soal bayaran ini sensitif. Industri kita ini kecil sahaja, pusing-pusing orang yang sama juga. Kadang-kadang ada yang rasa nilai yang ditawarkan itu kecil dan tidak berbaloi, tetapi bagi orang yang kurang job atau sudah lama tiada job, mereka akan bersyukur dengan nilai ditawarkan. Itu lumrah sebagai anak seni,” katanya.

Ramai peminat beranggapan pemegang watak Mak Leha dalam drama bersiri 7 Hari Mencintaiku 3, ini lebih sesuai membawakan watak komedi. Namun dia menepis tanggapan tersebut kerana sebagai pelakon dia hanya merealisasikan apa yang ditawarkan produksi.

“Mungkin peminat hanya nampak karakter saya ‘hidup’ dalam karya komedi. Selama ini saya dah bawa pelbagai watak. Tapi mungkin yang kelakar dan kepoh sahaja yang melekat di hati peminat. Bagi saya itu bukan soal utama, yang penting saya dapat jayakan watak dengan berkesan.

“Berlakon komedi ini bukannya mudah, tambah pula nak buat orang gelak dan terhibur. Silap haribulan kalau tak kelakar habislah! Sebab itu, saya salute dengan pelakon komedi yang boleh buat orang ketawa pecah perut,” katanya.

Bercerita tentang pelakon baru kurang berkualiti yang semata-mata bersandarkan kecantikan dan pengikut, dia menganggap segalanya adalah rezeki dan tidak perlu diperdebatkan.

Katanya, walaupun kriteria dan bakat adalah penting tetapi dalam era moden hari ini, segalanya telah berubah dan masyarakat perlu menerima dengan hati terbuka.

“Memang ada yang komplen banyak artis baru hari ini yang menjual rupa, tapi bila berlakon macam kayu. Bagi saya itu sudah rezeki mereka. Sebagai orang lama kita kena sentiasa bimbing dan tunjuk ajar mereka. Dalam berkarya ini memang perlu orang muda dan cantik. Itu tidak dinafikan.

“Tapi bila dalam satu frame, perlu sama-sama buat sebagus mungkin. Mereka ini ada pengikut beratus ribu dan berjuta dalam media sosial, dan itu adalah trend sekarang. Zaman kita dahulu tak ada macam ini. Silap hari bulan kalau ada mungkin kita lagi lebih daripada mereka agaknya. Kena sentiasa bersikap positif,” katanya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya