PETALING JAYA: Pempengaruh dan usahawan kosmetik sensasi, Nur Sajat telah kembali aktif di media sosial susulan memuat naik beberapa Instastory menerusi entri Instagram miliknya.
Menerusi hantaran yang sama, Sajat berkongsi satu video ringkas bertanyakan kepada pengikutnya sama ada perlu atau tidak dia membuat live di media sosial.
Sehubungan itu, dia juga menitipkan rasa rindu untuk menghiburkan para pengikutnya menerusi live sementelah sekian lama ‘menghilangkan diri’.
Malah, usahawan itu turut bertanya kepada peminatnya sama ada merinduinya atau tidak.
“Rindu tak? Tak baik cakap macam itu. Tak rindu kita ke? Sekejap lagi kita nak buat live, rindu sangat,” katanya di Instagram.
Dalam pada itu, dia turut mendedahkan mengenai mengapakah dirinya senyap buat seketika di platform media sosial kerana mahu fokus dengan perniagaan baharu.
“Kita selama ini senyap sebab nak membuka kedai di lokasi baharu. Alhamdulillah, dapat sokongan yang banyak. Terima kasih sangat.
“Tak sabar rasanya nak membuka perniagaan baharu di tempat baru. Gembiralah, kita nak cakap tentang perniagaan sahaja. Kan? Lagi bagus,” ujarnya lagi di Instastory.
Sebelum ini, keberadaan figura tersebut dapat dikesan selepas dimaklumkan berjaya membawa diri ke Thailand.
Kemudian, dia ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu kerana miliki passport tidak sah.