KUALA LUMPUR : Gara-gara memuat naik gambar memakai pakaian seragam pengawal keselamatan di media sosial, pelakon dan penyanyi, Mark Adam, 41, disangka benar-benar melakukan pekerjaan tersebut kini.
Malah, menurut Mark, keadaan itu juga menambah keyakinan pengikut dan peminatnya setelah dia juga kini tidak lagi bekerja sebagai penyampai radio Hot FM.
“Rupanya memang ada yang ingat saya memang kerja sebagai pengawal keselamatan kerana gambar yang saya kongsikan di Instagram. Walhal, saya sudah meletakkan tanda pagar judul drama bersiri baru yang saya jayakan sekarang.
“Tak sangka pula ramai ingat saya betul-betul jadi ‘pak guard’. Siap ada yang hantar mesej dan komen, suruh saya kerja baik-baik, jaga disiplin dan sebagainya,”katanya kepada Utusan Malaysia.
Mark berkata demikian semasa ditemui pada sidang media sambutan Ulang Tahun ke-37 Aeon Group Malaysia yang bertemakan Sayap Bagimu di Setiawangsa, semalam.
Selain itu, menurut Mark, ia tidak berkecil hati dengan salah faham yang timbul kerana baginya ia menunjukkan pengikutnya sama-sama mendoakan kejayaan dalam apa juga bidang yang diceburi.
“Tak rasa kecil hati pun. Lagipun, terus-terang saya cakap, setiap kali menyarung baju seragam itu di badan walaupun cuma berlakon, tetapi entah mengapa setiap kalinya rasa bangga itu menyerap di jiwa.
“Automatik, perasaannya jadi lain.Badan saya membongkok, tapi bila pakai seragam itu, postur badan pun tiba-tiba jadi tegap.
“Kalau nak tahu, rupa-rupanya bukan senang ya kerja sebagai pengawal keselamatan ini. Baru saya tahu, pekerjaan ini memerlukan disiplin yang sangat tinggi,”katanya.
Dalam pada itu, berkongsi mengenai projek lakonannya dalam sitkom dan drama Sayap Bagimu terbitan Aeon untuk tayangan di saluran TV3, Mark gembira dapat bekerjasama menjayakannya selain bergandingan dengan barisan pelakon hebat seperti Alif Satar dan Siti Nordiana.
“Selain itu, jangan tak tahu, ada juga kakitangan Aeon Group yang turut berlakon dalam dua buah naskhah ini.
“Saya sendiri pun terkejut kerana tak sangka, ada antara mereka yang memang benar-benar berrbakat dan berlakon bagus berbanding saya,”katanya.