KUALA LUMPUR : Menyertai pertandingan Maharaja Lawak Mega 2021 dengan menyaksikan kedudukan kumpulannya, R&R bersama Rahim Sepahtu sudah memasuki minggu ketiga, pelawak, Man, melahirkan rasa bimbang untuk persembahannya pada malam ini.
Menurut Man atau nama sebenarnya Abdul Rahman Kassim, dia juga khuatir seandainya percaturannya menyertai pertandingan tersebut dianggap adalah pada waktu yang salah.
“Risau pula kita. Takut malam ini tidak kelakar. Pishang ar.. Ke abang macam salah waktu masuk program Maharaja Lawak Mega ini? Pening arr… Shuib,”katanya dalam satu hantaran di Instagram hari ini.
Terdahulu, Man juga memuat naik satu hantaran di Instagram Story (igs) dan berharap semua peminat mendoakan yang terbaik buat persembahannya.
Dalam pada itu, menerusi tinjauan Utusan Malaysia, peminat dan pengikutnya melontarkan komen yang positif kepadanya selain menyuntik kata-kata semangat buat dirinya dan Rahim untuk persembahan pada malam ini.
Namun ada juga yang berpendapat, kumpulan R&R digabungkan dengan seorang lagi pelawak supaya kedua-dua mereka tidak kelihatan ‘kaku’ di pentas.
Program Maharaja Lawak Mega telah pun bermula sejak 15 Oktober lalu menyaksikan 11 pasukan berentap dan bersaing bagi merebut gelaran juara.
Selain R&R, kumpulan lain yang menyertainya adalah Puteh (Mamak, Vicha, Ali), Boro (Achey, Atu, Fad), 3Otak (Phoon Chi Ho, Farid Azmeir, Prakash Daniel), ORI (Achok Chilok, Hamdan Senario, Abu MAMU), Tobat (Bell Ngasri, Ropie) dan ramai lagi.