KUALA LUMPUR : Setelah tujuh tahun, program Idola Kecil kembali dengan konsep dan format yang baru di TV3 bertemakan Idola Kecil Di Rumah, bersesuaian dengan norma baharu pada waktu ini.
Kali ini, program Idola Kecil Di Rumah membuka peluang kepada enam kanak-kanak untuk mengikuti pelbagai pengisian program ilmiah dan rekreasi yang bermanfaat.
Menurut Pengurus Projek ini, Muhamad Sufian Che Isa, konsep yang diterapkan menerusi program kali ini dilihat bertepatan dengan situasi semasa yang menyaksikan semua pelajar kini melalui pengalaman pembelajaran secara atas talian di rumah.
“Pembelajaran di rumah sudah menjadi norma baharu untuk kanak-kanak sejak pandemik Covid-19. Selain pendidikan teras, mereka juga perlu didedahkan dengan kemahiran hidup dan diberikan peluang untuk menyerlahkan bakat.
“Jadi, Idola Kecil Di Rumah mengambil pendekatan melakukan sesi rakaman secara atas talian dengan 6 peserta terpilih ini. Selain melakukan persembahan secara maya dari rumah, para peserta juga diberikan cabaran – cabaran yang berbeza seperti Sembang IK dan Genius IK untuk menguji kebolehan komunikasi, IQ dan kecerdasan otak.
“Kami juga akan memaparkan selebriti jemputan dalam setiap episod untuk berinteraksi dengan peserta-peserta ini supaya pengisian program tetap menarik walaupun ia dirakam secara maya,”katanya.
Menurut Suffian, peserta Idola Kecil Di Rumah yang terpilih merangkumi Adaputra Iskandar Danial Asdahrizam,11, Nur Zulaikha Mohamad Riduan,12,NurAdyena Hanim Abdul Hamid,11, Razfazreyza Fenge Mat Rafengi,12, Nur Marsha Auni Zahira,12, dan Nur Qaireen Izyan Damin Jukiri, 11.
Menampilkan Scott’s sebagai penaja eksklusif, Idola Kecil Di Rumah bakal bersiaran di TV3 pada setiap hari Ahad, pukul 3.00 petang bermula 10 Oktober 2021 dengan durasi satu jam selama 8 episod dengan dihoskan oleh pengacara dan penyanyi terkenal, Sissy Iman.
Selain itu, Sissy Imann juga akan bergandingan dengan hos yang berlainan pada setiap episod dan lebih istimewa, mereka ialah ahli keluarga Idola Kecil iaitu Haqiem Rusli, Afiq Syazwan, Didi Astilah, Syada Amzah, Azzam Sham, Irfan Haris dan Harris Alif.
Program ini akan meraikan pemenang mingguan dan seorang pemenang utama di penghujung program berdasarkan prestasi dan cabaran yang dilakukan masing-masing pada setiap minggu.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia.