KUALA LUMPUR : Pelakon, Sherie Merlis, 48, menangisi pemergian Allahyarham bapanya, Wan Zainal Abidin Wan Kassim yang disahkan meninggal dunia pada pukul 9.30 pagi tadi akibat serangan jantung.
Menurut Sherie, Allahyarham bapanya meninggal pada usia 75 tahun dan baru sahaja menyambut ulang tahunnya pada tanggal 26 September yang lalu.
“Pada pukul 5 pagi tadi, adik saya membawanya ke hospital kerana abah ada mengadu sakit dada. Sejam sebelum dia meninggal dunia, doktor yang merawat maklumkan yang keadaannya sudah okey dan stabil.
“Arwah abah disahkan meninggal pada pukul 9.30 pagi dalam keadaan dia sedang tidur.
“Doktor cakap semua sistem dalam tubuhnya gagal berfungsi dan pihak hospital sudah cuba lakukan rawatan pernafasan selama 15 minit,”katanya.
Dalam pada itu, Sherie meminta agar semua peminat, pengikut dan mereka yang mengenali untuk sama-sama mendoakan segala urusannya dan keluarga dipermudahkan.
Sebelum ini, Sherie pernah berkongsi mengenai kesulitan keluarganya apabila terpaksa berdepan dengan situasi Covid-19 setelah seorang daripada adiknya disahkan positif.
Rayuan dan rintihan Sherie itu kemudiannya mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Megaklinik Zahran yang menghulurkan bantuan.