PETALING JAYA: Segala tanda tanya telah terjawab apabila pelakon terkenal, Yusuf Bahrin selamat diijab kabulkan dengan pasangannya juga penyanyi rap popular tanah air, Zizi Kirana, hari ini.
Menerusi siaran langsung di Instagram, perkahwinan tersebut berlangsung di Masjid Usamah Bin Zaid, Zon 4, Kuala Lumpur, pagi ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata peminat mereka dan rakan-rakan artis sempat mengucapkan tahniah buat pasangan dua sejoli itu, menerusi ruangan komen di Instagram Live berkenaan.
Semalam, tanda tanya pasangan tersebut bakal berkahwin semakin kuat apabila segelintir kenalan pelakon itu menitipkan doa buatnya agar dipermudahkan segala urusannya, hari ini, menerusi Instastory.
“Semuanya yang terbaik Cop! Semoga Allah permudahkan urusan kau #jangangagap.
“Semoga dipermudahkkan urusan Yusuf Bahrin,” coret beberapa kenalannya yang dimuat naiknya semula di Instastory.
Menerusi Instastory penyanyi Zizi pula mendapati, dia dilihat sedang bersolek dan kelihatan ayu mengenakan busana serba hitam, pagi tadi.
Sebelum ini, Zizi tidak menolak sekiranya mereka ditakdirkan ada jodoh. Malah, ada satu satu siaran langsung di Instagram, pelakon itu memanggil Zizi dengan panggilan sayang.
Ia sekali gus, menguatkan lagi teka-teki peminatnya tentang desas-desus keakraban mereka.