NEW YORK: Pelakon drama Sex and the City, Willie Garson meninggal dunia pada usia 57 tahun.
Lapor People.com, mendiang menghembuskan nafas terakhir sekitar petang Selasa waktu tempatan.
Garson yang sekian lama menderita kanser pankreas meninggal dunia di samping ahli keluarga tersayang.
Garson dikenali menerusi watak Stanford Blatch, rakan karib kepada Carrie Bradshaw lakonan Sarah Jessica Parker di dalam drama dan filem popular tersebut.
Dalam pada itu anak mendiang, Nathen berkongsi kesedihan atas pemergian bapanya itu menerusi Instagram.
Dia menyifatkan mendiang sebagai seorang yang paling tabah, melucukan dan bijak yang pernah dirinya kenali.
“Saya sayangkan mu papa. Rehat dengan tenang. Saya gembira dengan kehidupan dan pencapaian kita kecapi bersama,” tulisnya.