KUALA LUMPUR: Personaliti TV popular, Aidid Marcello memaklumkan dirinya terpaksa ditahan lagi atas sebab jumlah sel darah putih tinggi lebih dari biasa selepas enam hari dirawat di salah sebuah hospital di ibu kota.
Pun begitu Aidid, 41, tidak menyatakan asbab dia dimasukkan ke hospital namun segala prosedur sudah selesai dan berjalan dengan lancar.
“Sepatutnya hari ini sudah boleh balik jumpa keluarga. Tapi semalam pukul 12 tengah malam dapat tahu jumlah sel darah putih saya terlalu tinggi dan doktor terpaksa tahan mungkin dua ke tiga hari lagi,” ujarnya di Instagram awal pagi hari ini.
Dalam perkongsian sama, Aidid mohon dipanjatkan doa agar dia cepat sembuh dan dijauhkan dari sebarang bentuk penyakit yang memudaratkan diri.
“Inilah untungnya media sosial, Insya-Allah. Saya harap siapa yang membaca ini dapat selitkan sekali nama saya dalam doa kalian supaya semua keadaan saya dipermudahkan serta dijauhkan daripada sebarang jangkitan kuman, Insya-Allah.
“Tiada hadiah setanding doa anda semua. Saya juga mendoakan semoga anda dijauhkan daripada ujian berat Allah dan penyakit berbahaya,” ujarnya lagi.
Menerusi perkongsian berbeza pada Ahad lalu, Aidid ada meluahkan isi hatinya berhubung kitaran hidup dan rezeki termasuk dugaan dan ujian.
“Sebenarnya benda yang Dia (Allah) nak bagi pada aku ini, bila-bila masa saja. Cuma aku tahu, setiap hadiah yang kita nak dan minta itu, kena setimpal dengan usaha termasuk ujian yang kita kena hadap dengan reda.
“Aku tahu aku jahil. Aku tidak mahu terlambat untuk luruskan yang bengkok,” katanya yang berterima kasih kelada isterinya Norzie Pak Wan Chek yang setia menjaganya di hospital.
Akhirinya turut mengucapkan syukur kepada Ilahi kerana masih diberikan kesempatan untuk terus berdoa memohon rahmat dan hidayah-Nya.