Sebab Rosyam Nor, saya teruja beritahu ibu - Raja Afiq - Utusan Malaysia

Sebab Rosyam Nor, saya teruja beritahu ibu – Raja Afiq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Sudah lama menyimpan impian untuk bergandingan dengan aktor hebat tanah air iaitu Datuk Rosyam Nor, pelakon muda, Raja Afiq, tidak menyangka hasratnya itu tercapai setelah ditawarkan untuk membintangi drama bersiri Gerak Khas Undercover (GKU) terbitan Skop Productions Sdn Bhd.

Menurut pelakon berusia 27 tahun ini, peluang berlakon bersama Rosyam benar-benar merupakan satu pengalaman manis buatnya apalagi aktor tersebut juga disifatkan tidak lokek untuk berkongsi ilmu ketika berada di set penggambaran.

“Saya memegang watak orang kanan Tony Bono, lakonan Rosyam dan berlakon di sampingnya ternyata membuatkan saya sangat teruja. Maklumlah, sejak sekian lama memang saya meminati setiap hasil kerja Rosyam.

“Filem seperti Castello, Janji Diana, KL Menjerit, Gangster, Bilut, Balistik, pendek kata semua saya akan tonton. Jadi bila Skop Production beri peluang untuk bergandingan dengan dia sudah tentu ia bukan satu perkara yang harus disia-siakan.

“Saya punya teruja itu, sampai balik rumah bercerita dengan ibu apa yang Rosyam ajar, pengalaman berlakon dengan dia dan semuanyalah,”katanya.

Afiq berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media drama bersiri GKU yang diadakan secara virtual, kelmarin.

Selain itu, menurut Afiq, dia juga berbesar hati dapat menjayakan drama bersiri ini kerana secara kebetulan memang meminati dunia seni lakon lasak.

“Sebelum ini saya selalu dengar daripada kawan-kawan industri bahawa Skop Productions banyak menghasilkan naskah-naskah aksi. Kalau lihat pada profil kerjaya saya sebagai pelakon, sebelum ini asyik diberi watak dalam naskah cinta saja.

“Tapi sebenarnya, kalau nak tahu, saya suka drama atau filem aksi. Iyalah, asyik bawa watak yang manis-manis saja, kenalah cuba sesuatu yang berbeza pula bukan,”katanya.

Dalam pada itu, Afiq menjelaskan dia tidak kisah andai selepas ini ada penonton yang akan membenci watak lakonannya menerusi drama bersiri kepolisan ini.

Ini kerana, menurutnya, ia secara tidak langsung membuahkan satu kepuasan bahawa hasil kerjanya dinilai dengan baik oleh penonton.

“Tetapi, sebenarnya ada beza antara watak garang dengan watak yang boleh buat orang benci. Secara peribadi, saya rasa watak dalam drama ini menyaksikan sisi garang dan gangster saya.

“Watak benci, contohnya individu yang berkelakuan seperti musuh dalam selimut, bermain dengan reaksi wajah. Itu orang akan benci.

“Apa pun, saya bersyukur dan puas hati dapat terlibat dalam drama arahan Datuk Yusof Haslam ini,”katanya.

Drama GKU masih mengekalkan watak popular lakonan Erra Fazira, Salina Saibi, C.Kumaresan, Farid Amirul namun akan dimantapkan lagi dengan barisan pelakon lain seperti Datuk Aaron Aziz, Datuk Seri Eizlan Yusof, Elizabeth Tan, Raja Afiq, Ruzana Ibrahim dan Khalida Balqis.

Selain Yusof Haslam Syafiq Yusof juga merupakan pengarah bersama dengan C. Kumaresan, Faizal Yusof, Iskandar Kamaludin, M.S Hakim untuk drama bersiri ini.

GKU bakal bersiaran selama 30 episod di TV3 bermula pada 1 Oktober 2021, setiap hari Jumaat, pukul 10.30 malam serta turut disiarkan di platform penstriman iQiyi pada hari yang sama selepas siaran di TV3.

Drama bersiri ini memaparkan beberapa tugas risikan (undercover) bagi membanteras jenayah. Antaranya, kes jenayah membabitkan kumpulan kongsi gelap remaja, kes pengedaran dadah dalam kalangan pelajar sekolah, sindiket penipuan jual beli kereta, kes pelacuran dan keldai dadah dalam kalangan pelajar kolej dan lain-lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya