KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial popular, Cik Yah merakamkan penghargaan terima kasih tidak terhingga kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di atas kesudiannya meluangkan waktu berharga.
Jelas Cik Yah, dia berhubung bersama Tengku Zafrul menerusi aplikasi Zoom untuk bertanyakan perihal bantuan khas kerajaan: Geran Khas Prihatin (GPK 4.0) yang diberikan kepada peniaga kecil.
“Terdahulu kandungan video berkaitan Bantuan Khas Covid tular dan dalam kandungan video itu, Cik Yah meluahkan hasrat mahu berjumpa dengan Tengku Zafrul dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengetahui apa lagi bantuan lain yang akan diberikan oleh kerajaan kepada rakyat.
“Hal itu kerana, ada segelintir individu yang tidak cakna pasal bantuan rakyat ketika zaman pemerintah kerajaan sebelum ini melalui akhbar.
“Tetapi mereka lebih suka tengok kandungan Cik Yah. Dari perkongsian Cik Yah baru mereka tahu dan bagaimana untuk mencari bantuan tersebut supaya dapat dipohon,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ujar Cik Yah, Tengku Zafrul memaklumkan sebarang informasi, pertanyaan lanjut dan permohonan boleh layari terus ke laman rasmi bantuan-bantuan sedia ada.
Pasa masa sama, Cik Yah juga sekali lagi berharap agar Tengku Zafrul dan Perdana Menteri dapat meluangkan masa bersama bagi membincangkan dan bertukar pandangan di lain hari.
“Akhir perbualan dengan Tengku Zafrul, saya harap dapatlah beliau dan Perdana Menteri datang ke Kampung Gajah Termenong ini,” ujarnya dalam nada berseloroh.