Bahanakah taasub artis? - Utusan Malaysia

Bahanakah taasub artis?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mengambil situasi bagaimana kuatnya pengaruh peminat terhadap artis antarabangsa, seperti K-Pop, ada yang berpendapat ketaasuban terhadap seseorang artis itu tidak mendatangkan sebarang manfaat melainkan keburukan.

Perkara ini barangkali ada benarnya memandangkan perkataan taasub juga sudah membawa satu konotasi keterlaluan yang tentunya tidak akan mendatangkan kebaikan.

Ini seiring dengan kata-kata bijak yang menyebut, mana-mana perkara atau sesuatu yang berlebihan itu, tidak baik. Apalagi dalam menghubungkannya dengan dunia seni hiburan yang disifatkan ‘lagha’.

Benar, seseorang artis itu tidak akan mampu pergi jauh tanpa kewujudan dan sokongan peminat. Tetapi, sejauh mana mereka meletakkan had dalam kerjaya agar tidak mencetuskan elemen taksub itu yang kemudiannya membawa kepada kerugian dan kelalaian?

Atau memang wujud artis yang gemar dan megah apabila dirinya dipuja-puja orang atau peminatlah yang sebenarnya tidak cerdik dalam meletakkan batas dalam minat?

Berikut adalah pandangan yang dikumpulkan oleh Pancaindera berhubung isu ini.

Memang ada yang obses tetapi mereka tahu batas – Syafiq Kyle

Berbeza pula dengan pandangan pelakon popular, Syafiq Kyle terhadap peminat yang terlalu fanatik. Dia berpendapat peminat di negara ini tidak terlalu obses berbanding di luar negara.

Namun, pelakon filem Pusaka itu tidak menafikan ada segelintir daripada mereka yang mempunyai sifat terlalu obsesi terhadap seseorang artis yang disayanginya.

Bagaimanapun, Syafiq menyifatkan untuk meminati selebriti cukup hanya sekadar menjadi bahan hiburam sahaja, tidak perlu berlebihan sehingga memudaratkan diri sendiri.

“Di Malaysia, peminat terhadap artis ini tidak berapa nak obses sangat sebab kebanyakan mereka adalah orang Melayu yang mempunyai adat dan agama,” katanya.

Mengulas lanjut, Syafiq turut mengakui adanya kesan terhadap seseorang apabila terlalu fanatik kepada artis pujaannya.

Tambahnya lagi, seseorang artis itu juga turut menerima tempiasnya terhadap perkara berkenaan, tetapi perlu sentiasa berhati-hati dengan mereka.

“Hidup awak akan menjadi sunyi kerana kita tidak boleh terlampau obsess, ia akan melemahkan tenaga dan aura positif pun akan hilang. Berdasarkan pengalaman saya, kebanyakannya mereka ini obsess kepada artis, bukan individu.

“Saya pernah dapat pelbagai mesej dan panggilan terhadap seorang individu ini, tetapi apabila saya bertanyakan perkara ini kepada rakan artis yang lain, dia melakukan perkara yang sama. Jadi, saya takut orang mengambil kesempatan dari pelbagai sudut.

“Apabila peminat yang terlalu fanatik ini, ia akan memberi kesan kepada kita kerana membuatkan lebih jarak dengan mereka. Mereka mengharapkan kita menjadi apa yang mereka inginkan, itulah yang tidak boleh nak beri. Oleh itu, seseorang artis itu perlu lebih berhati-hati,” tuturnya kepada Pancaindera.

‘Kita boleh meminati dan menyanjungi tapi jangan keterlaluan’ – Zach Ismail

Peminat setia penyanyi Ziana Zain, Zach Ismail berpendapat, seseorang individu itu perlu berpada-pada dan tidak keterlaluan dalam mengagung-agungkan artis pujaan mereka.

Dia yang juga presiden kelab peminat Zianafolks berpendapat, obsesi yang melampau terhadap seseorang selebriti itu sebenarnya boleh membawa kesan negatif terhadap diri seseorang jika tidak dikawal.

“Kita boleh meminati dan menyanjungi tapi jangan keterlaluan dan sentiasa letakkan had agar tidak sehingga menjejaskan kehidupan sendiri.

“Sebagai orang Islam, kita juga ditegah untuk terlalu mengagung-agungkan seseorang artis itu. Meminati tak salah, tetapi jangan berlebihan,” katanya.

Zach berkata, dia memahami golongan muda yang terlalu menyanjungi artis kesayangan mereka kerana katanya dia juga satu ketika dahulu pernah berada di tempat mereka.

Namun tambahnya, seiring peningkatan usia, dia belajar bagaimana untuk meletakkan had agar tidak keterlaluan dalam menyanjungi artis kesayangannya.

“Ketika usia remaja dahulu, boleh katakan tahap obsesi saya itu tinggi terhadap Ziana Zain, sehingga saya akan membalut buku sekolah dengan poster Ziana dan mengumpul majalah yang memaparkan penyanyi tersebut.

“Saya jadikan kejayaan Ziana sebagai inspirasi untuk saya kecapi kejayaan diri dalam bidang yang saya ceburi. Itu perkara positif yang saya ambil sebagai peminat seorang selebriti.

“Kini, saya masih meminati, cuma tidak terlalu obses. Masih setia menyokong kerjaya seninya dan mengikuti perkembangannya dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Zach berpesan ketika golongan muda agar sentiasa berpada-pada dan menjaga tindak tanduk sebagai peminat seseorang artis.

“Jadilah peminat yang baik dan bijak, jaga perlakuan dan tutur kata kerana anda juga mewakili seseorang artis itu,” jelasnya.

Terima artis seadanya – Siti Nordiana

Bagi penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana Alias, 37, ungkapan meminati seseorang artis itu pada dasarnya tidak menjadi satu kesalahan.

Namun, andai ia dilakukan secara berlebih-lebihan, penyanyi yang mesra disapa sebagai Nana ini juga tidak menolak ia boleh memberi interpretasi negatif.

“Tak ada masalah untuk seseorang itu meminati seseorang artis. Itu hak dan minat seseorang ini tidak boleh kita paksa. Mungkin mereka minat kerana personaliti, kerana lagu penyanyi itu, atau kerana lakonan dan profil kerjaya artis tertentu itu.

“Bagi saya, nak minat itu boleh. Tapi bersederhanalah. Kita pun tahu artis pun manusia biasa dan ada kelemahan serta kekurangan. Sebagai peminat, kena terimalah juga kekurangan mereka itu.

“Mungkin boleh menyokong, mendoakan dan sentiasa beri semangat buat artis tersebut. Itu yang terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, penyanyi yang telah membina kerjaya sejak tahun 1999 ini melahirkan rasa syukur kerana sepanjang kariernya, dia tidak berdepan dengan kelompok peminat yang fanatik keterlaluan atau ‘menyeramkan’.

“Setakat ini, peminat-peminat saya tak ada yang menyeramkan. Semuanya manis-manis belaka. Alhamdulillah, mereka sentiasa menyokong saya dari dulu sampailah sekarang.

“Mereka juga menerima saya seadanya. Bagi saya, antara saya dan peminat, lebih cenderung ke arah menjalinkan ukhuwah yang erat.

“Kalau saya ada apa-apa, maksudnya buat kesilapan dan sebagainya, mereka akan saling ingat-mengingati dan tak pernah luntur untuk terus menyokong saya,”katanya.

‘Bersederhana dan menyokonglah dengan kasih sayang’ – Marr Mohamad

Artis dan peminat, memang tidak dapat dipisahkan. Bagai isi dengan kuku ibaratnya. Tapi kadang-kadang menakutkan jua, segelintir peminat begitu obses dengan artis mereka.

Bagi Marr Mohamad yang merupakan salah seorang peminat setia Datuk Seri Siti Nurhaliza, jika dilihat dari sudut obsesi yang melampau, ia adalah satu perkara yang tidak sihat.

Ada juga segelintir peminat sering kali melaga-lagakan sesama artis demi memastikan artis mereka kekal ke depan. Bahkan membuatkan sesama artis bergaduh.

“Pada saya itu sangat tidak wajar. Belum lagi yang membuat fitnah kepada artis lain, atau mengugut artis kegemaran mereka andai apa yang diinginkan tidak dipenuhi. Sebagai seorang peminat, bersederhana dan menyokonglah dengan kasih sayang, keikhlasan dan kejujuran.

“Artis adalah cerminan peminat dan peminat adalah tulang belakang kepada seorang artis. Kedua-duanya saling memerlukan tetapi kita harus sentiasa menjaga kerukunan, menghormati artis lain, dan menyokonglah dengan baik tanpa menjatuhkan sesiapa,” ungkapnya.

Menyentuh bab cerita artis dijaja dalam blog-blog demi meraih klik semata-mata, kata Marr, menjadi peminat artis mana sekali pun, tentu mereka akan mempertahankan artis kegemaran mereka jika artis mereka diburukkan, direndahkan atau menjadi polemik yang tidak baik dalam kalangan netizen.

Sebagai peminat, tentulah mereka menzahirkan sokongan, rasa sayang dan memberikan semangat buat artis mereka.

“Tambahan pula, jika tajuk utamanya mencetuskan provokasi atau impak negatif terhadap artis hingga menimbulkan fitnah, tentulah ada peminat yang merasa tidak senang artis mereka menerima kecaman tersebut dari cerita yang tak betul.

“Saya tidak menafikan ada segelintir portal atau blog sensasi yang suka menjadikan artis sebagai bahan sensasi dan menimbulkan fitnah kepada peminat.

“Namun, masih ramai yang jujur dan kita harus menghormati tugas media,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya