PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi, Zarina Zainoordin mendedahkan dirinya hampir menjadi mangsa penipu dalam talian yang cuba memperdaya menerusi taktik penyamaran.
Berkongsi pengalamannya, bekas peserta Akademi Fantasia musim kedua ini mendedahkan individu terbabit menyamar sebagai pegawai sebuah bank dalam negara yang mengarahkannya melangsaikan hutang secepat mungkin.
“Tiba-tiba ada orang hubungi, hello ini cik Zarina eh? Awak ada hutang, nak kena langsai cepat, saya dari sebuah bank.
“Hey, aku tak pernah berurusan dengan bank itu, salah orang nak tipu aku,” tulisnya di Instagram.
Dalam entri sama, Zarina sempat mengingatkan penipu terbabit agar menghentikan perbuatannya yang cuba memperdaya orang dengan taktik kotor itu.
Tindakan itu hanya akan memalukan diri si penipu itu sendiri.
“Sudah-sudah lah menipu duit orang, tak malu ke. Tolong berhenti jadi sampah masyarakat, memalukan hidup,” tulisnya lagi.
Penipuan dalam talian atau Macau Scam semakin membimbangkan dengan peningkatan jumlah aduan dan laporan yang dibuat mangsa saban tahun.
Penipu menggunakan taktik penyamaran, mengaku diri mereka sebagai pegawai bank, anggota polis, peguam dan lain-lain untuk menjerat mangsa sehingga kerugian sejumlah wang banyak.