KUALA LUMPUR : Peminat-peminat kumpulan BTS seluruh dunia melancarkan gerakan #BillboardApologizetoBTS di semua platform media sosial bagi mendesak majalah popular tersebut memohon maaf kepada semua anggota kumpulan tersebut kerana didakwa mencetuskan penulisan kontroversial.
Menurut laporan media antarabangsa, gerakan itu bermula semalam selepas Billboard menerbitkan keluaran terbarunya yang memaparkan BTS sebagai penghias muka hadapan majalah hiburan dan muzik tersebut pada hari yang sama.
Bagaimanapun, rata-rata peminat atau ARMY yang membaca artikel mengenai BTS itu tidak berpuas hati dan berasa tersinggung dengan soalan kontroversi yang dibentangkan terutama apabila Billboard mengaitkan isu manipulasi carta muzik dengan penglibatan mereka.
ARMY mendakwa, ‘manipulasi’ yang dimaksudkan Billboard itu melibatkan teknik ‘boosting sales’, pembelian dan penstriman pelbagai versi terhadap lagu yang sama seperti lagu Butter remix dan dedikasi pemilihan hari semata-mata untuk penstriman atau pembelian sesebuah lagu demi memastikan BTS berada dalam carta muzik itu.
Menurut pihak billboard, ‘manipulasi’ ini bagaimanapun sebenarnya bagaikan sebuah organisasi dan terikat dengan beberapa syarat.
Pun begitu, seorang daripada anggota BTS, RM, membalas pertanyaan itu dengan menyifatkan ia sebuah soalan yang menarik.
“Bagi saya, kalau ditanya mengenai apakah yang sepatutnya diterjemahkan sebagai artis No 1, ia terpulang kepada mereka untuk menukar syarat-syarat tertentu dan jadikan jumlah penstriman itu sebagai ukuran dalam carta.
“Menghentam kami atau peminat-peminat kami kerana mampu berada di kedudukan No 1, menerusi jualan album fizikal dan muat turun lagu, saya tidak tahulah jika ia berasas.
“Seolah-olah kami ini menjadi sasaran yang mudah hanya kerana kami ini sebuah artis berkumpulan, artis K-Pop dan kami memiliki peminat yang sangat setia,”katanya.
Tidak cuma itu, ARMY juga mempersoalkan mengapa Billboard memuat sama beberapa petikan kata daripada peminat penyanyi lain seperti Olivia Rodrigo dan Dua Lipa di dalam artikel yang memperlihatkan mereka mempersendakan kejayaan lagu Butter daripada BTS.
Berikutan itu, ARMY tidak menolak bahawa wujudnya usaha daripada pihak Billboard untuk mencetuskan ‘perang’ antara peminat BTS dengan peminat artis lain yang mana, bagi mereka, sepatutnya artikel berkenaan memfokuskan kepada kejayaan BTS.
Bagaimanapun, setakat ini masih belum ada sebarang respons daripada pihak Billboard berhubung isu ini.