NADANYA di hujung corong telefon kedengaran tenang bersahaja tatkala diaju pertanyaan mengenai banyaknya tugas yang kini sedang digalas.
Jika sebelum ini Hawa Rizwana menjadi penyeri dalam program Wanita Hari Ini (WHI) dan Hello Doctor termasuk menjadi penyampai berita di Buletin Utama, kini Hawa memegang satu lagi tanggungjawab baharu menerusi gelaran penyampai radio Buletin FM pula.
Tentu ada yang melihat ia sebagai satu pencapaian memberangsangkan apa lagi Hawa di usia muda sudah diberi banyak peluang besar untuk berada di barisan hadapan.
Namun ada juga usikan nakal di belakang tabir yang mengatakan ini juga adalah satu aturan yang mendatangkan keuntungan buat Hawa.
Iyalah, nama pun banyak tugas dan tanggungjawab. Pada hujung bulan, tentu-tentulah Hawa mampu tersenyum lebar meraih bayaran yang bukan kecil anak bukan?
Apa pula bicara kata daripada wanita berusia 26 tahun ini? Ikuti temu bual yang Pancaindera sajikan ini.
Boleh kongsikan sedikit mengenai cabang baru yang Hawa terokai sekarang?
Saya akui masih baru dan masih belajar dalam bidang pengacaraan ini. Saya bermula dengan membaca berita dan apabila ditawarkan menjadi penyampai radio, memang tak dinafikan, terkejut. Tapi mesti ada sebab perkara ini berlaku dan saya fikir barangkali kerana pihak stesen TV dan radio meletakkan kepercayaan pada diri ini. Memikirkan diri tiada langsung pengalaman dalam radio, saya rasa gementar juga, memang banyak yang perlu dipelajari.
Banyak betul kerja Hawa ini. Tak bimbangkah kalau kepenatan atau tidak cukup rehat sebab jadual bertugas bermula sesudah subuh hingga ke malam asyik dengan kerja?
Alhamdulillah, saya sudah susun jadual di setiap hujung bulan. Cuma sekarang tambah sikit kerja, kena bangun awal pagi untuk bersiaran di radio. Nasib baik radio juga di dalam satu bangunan sama dan saya bolehlah ke set WHI pula selepas habis kerja di konti radio. Sebenarnya kalau susun jadual dengan baik, tiada masalah untuk dapatkan rehat secukupnya.
Tapi saya amat pentingkan aspek tidur yang cukup dan berkualiti. Sejak zaman belajar lagi begitu. Saya bersyukur kerana duduk dengan keluarga, jadi bolehlah minta tolong mereka kejutkan kalau terlalu penat.
Bagaimana pula dengan soal tekanan? Banyak galas tanggungjawab dalam satu masa yang sama, rasanya tak semua boleh jadi macam Hawa.
Tentulah ada sebab boleh dikatakan, tawaran ke radio ini juga notisnya diterima singkat. Nak hadam semua saya perlukan masa juga untuk itu sebab TV saya sudah biasa kendalikan. Tapi macam saya katakan, tentu ada sebab mengapa diri saya diberi kepercayaan ini. Pihak atasan tak akan saja-saja nak letakkan kita di sesuatu tempat tanpa sebab. Ini rezeki dan saya pujuk diri supaya tidak terlalu tertekan atau takut. Lagi pun saya bergandingan dengan senior, Ally Iskandar. Dia seorang yang ada pengalaman dan saya juga banyak belajar daripadanya.
Kalau dikatakan Hawa ini seakan menjadi satu bahan eksperimen oleh TV3, apa komen Hawa?
Tak apalah, saya pun jadikan semua ini sebagai satu eksperimen diri sendiri. Di usia sekarang adalah fasa yang mana saya baru bekerja, masih mencari kekuatan dan kelebihan. Tak kisah orang nak cakap apa sebab saya tahu diri masih banyak benda yang ingin diterokai. Sebenarnya, saya bersyukur diberi tanggungjawab besar sebab ia membuatkan saya mahu sentiasa memperbaiki diri.
Siapa yang Hawa idolakan dalam bidang penyampaian radio dan pengacaraan?
Kalau cakap pasal gandingan di radio, saya suka Faizal Ismail dan Fara Fauzana. Kedua-dua mereka sangat hebat bagi saya. Kalau bidang pengacaraan pula, antaranya ialah Fiza Sabjahan. Dia antara mentor saya juga sebab sewaktu zaman ‘intern’, saya banyak belajar dengan dia.
Banyak tugasan,maka banyaklah juga pendapatan yang diraih di hujung bulan, bukankah begitu?
Sebelum ini saya aktif juga bekerjasama dengan pelbagai jenama untuk kandungan bahan dalam media sosial. Bagi sayalah, ini semua rezeki juga, Umur muda, masa inilah kita kerja keras. Sebab masa ini kita ada tenaga dan masih sihat. Kita tak tahu apa akan jadi pada tahun depan. Jadi masa inilah kita kerja sehabis baik dan buat simpanan. Sekurang-kurangnya terjamin sikit masa depan. Saya ini bukan kerja untuk diri sendiri sahaja, tapi untuk masa depan keluarga juga.
Apa pula komen tentang cakap-cakap orang bahawa Hawa ini bakal jadi ‘ikon’ TV3 yang baru?
Terserah kepada pengurusan apa yang dirancang. Saya tak nak fikirkan apa-apa tentang itu dan kalau boleh nak fokus pada kerja sahaja. Bagi saya, tak kisah saya di mana sekali pun, apa-apa kena belajar dan buat persediaan sendiri. Kalau saya dapat perbaiki cara penyampaian dari semasa ke semasa pun saya sudah sangat bersyukur. Saya ini dahagakan pengalaman. Niat asal saya, kalau diberi sebarang tugas, saya mahu penonton dan pendengar dapat inspirasi dan motivasi dengan perkongsian bermanfaat daripada saya.
Bagaimana dengan kecaman? Kalau sepanjang menjadi penyampai radio ini ada yang kutuk dan anggap Hawa tak sesuai, macam mana nak bidas semula?
Saya seorang yang terbuka dengan kritikan dan berlapang dada menerimanya. Untuk tanggungjawab baru ini malah lebih lagi. Ini kerana saya harap apa yang mereka komen dan kritik itu mampu membuatkan saya berusaha lebih baik untuk perbaiki mana-mana kelemahan. Dalam masa sama, saya juga sentiasa bertanya pada orang yang berada dalam profesion itu terlebih dahulu. Saya akui, dulu agak sensitif, tapi lama-lama perasaan itu bertukar menjadi semangat untuk buat lagi baik. Saya tak pernah fikir diri ini bagus sangat atau apa. Tapi janganlah lupa, saya manusia biasa. Ada masa tentu rasa tertekan. Jadi satu cara, saya luahkan pada ibu dan ayah dan Alhamdulillah, merekalah yang sentiasa memahami dan beri sokongan buat saya.