“Saya dihina kerana miskin” - Saari Amri - Utusan Malaysia

“Saya dihina kerana miskin” – Saari Amri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lagu-lagu ciptaannya bukan sahaja memukau dan menyentap perasaan malah mencengkam hingga ke lubuk jiwa. Sentuhannya berbisa sehingga meninggalkan kesan mendalam buat pendengar. Demikianlah hebatnya insan seni ini.

Dibelenggu kemiskinan sehingga tidak mampu menyambung pelajaran ke sekolah menengah, namun jiwa dan semangatnya kental. Dia tidak pernah kenal erti putus asa. Niat dihatinya hanya ingin mengubah nasib diri dan keluarga tercinta.

Bersama Khabar Legenda, komposer dan penerbit terkenal satu dalam sejuta anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan, Saari Jusoh, 55 berkongsi kisah suka dan duka perjalanan seninya dari awal pembabitan sehinggalah hari ini.

“Selepas ibu dan bapa berpisah, saya dibesarkan oleh nenek. Hidup ketika itu memang daif, ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Sebaik tamat darjah enam saya ambil keputusan untuk berhenti sekolah. Fikir saya, tidak guna lagi sambung belajar kerana rakan-rakan sering pandang rendah dan sisihkan saya, maklumlah saya orang miskin.

“Ketika itu rindu saya pada ibu tidak mampu dibendung lagi. Sejak ibu dan ayah berpisah saya langsung tidak dengar sebarang khabar berita darinya. Saya ambil keputusan untuk mencari ibu. Dua kali rancangan saya gagal kerana ayah tahu. Teruk saya kena belasah,” katanya membuka perbualan.

Tidak pernah menyesal dengan apa yang berlaku, dia meneruskan niat sekali lagi. Laluan kereta api menjadi panduan agar rancangannya tidak dihidu oleh sesiapa. Pengalaman menumpang kenderaan serta bermalam di rumah orang tidak langsung mematahkan semangatnya. Berkat kesabaran akhirnya sampai juga di kampung ibunya.

Namun dia hampa kerana ibunya telah berpindah ke Terengganu.

Dengan bantuan seorang pemuda yang sudi menumpangkannya, dia akhirnya sampai ke Terengganu. Niat bertemu ibunya termakbul. Tidak sekadar melepas rindu, malah dia terus meniti hari-harinya bersama insan tercinta. Walau serba kekurangan, namun cukup membahagiakan.

Mencecah usia 15 tahun, dia dan ibunya kembali ke kampung halaman. Lulusan darjah enam, tiada sebarang kerjaya yang layak buatnya. Lantas dia mengambil upah sebagai penoreh getah dan memanjat pokok kelapa dengan upah RM1. Walaupun ganjarannya tidak seberapa, tetapi lebih baik daripada meminta.

“Saya ke Singapura bekerja sebagai buruh kontrak. Bila kelapangan saya pulang ke kampung menjenguk ibu. Dengan gaji yang agak lumayan saya sudah mampu menanggung ibu. Saya juga ada berkenalan dengan seorang gadis, tetapi malangnya saya dihina oleh keluarga mereka.

Orang miskin yang tiada pelajaran ini siapalah nak pandang.

Akhirnya saya ambil keputusan pulang semula ke Singapura.

“Saya mula meminati muzik. Dengan wang gaji saya beli sebuah gitar dan belajar melalui buku. Rakan-rakan sekerja banyak memberikan sokongan dan semangat. Satu hari seorang rakan baik saya di situ beritahu, katanya kalau saya ingin maju bukan di Singapura tempatnya. Saya kena berani berhijrah ke Kuala Lumpur untuk teruskan cita-cita,” katanya.

Dia memasang azam demi merealisasikan impian. Di Kuala Lumpur, dia terus memulakan langkah menuju ke beberapa buah syarikat rakaman untuk mencuba nasib, namun sekali lagi dirinya dirundung malang apabila dilayan seperti pengemis memandangkan dia bukanlah sesiapa atau insan yang dikenali.

Restu ibu adalah segalanya

Semangatnya luntur dan harapannya berkecai. Dia pulang ke kampung halaman meminta restu dari ibunya. Berbekalkan wang sebanyak RM500 hasil jualan seekor lembu kesayangan ibunya, dia sekali lagi melangkah ke ibu kota. Kali ini dia berazam. Selagi tidak berjaya dia tidak akan pulang semula.

Hotel murah dan rumah tumpangan di sekitar Jalan Chow Kit merupakan rumahnya. Namun semakin hari kantungnya semakin kosong sehinggalah tanpa rasa malu dia menadah tangan di kaki lima meminta simpati dan belas ihsan orang ramai untuk mencari sesuap nasi. Beban yang ditanggung teramat berat sehinggakan terbit rasa kecwa dalam hidupnya.

“Saya dipelawa oleh seorang pemuda untuk membantunya berniaga warung di situ. Walaupun tidak dibayar gaji, namun saya tetap gembira kerana diberikan tempat tinggal dan makan minum. Ketika itu saya sudah ada banyak lagu ciptaan sendiri, disebabkan tiada syarikat rakaman yang sudi mengambil lagu-lagu tersebut, jadi saya bercadang untuk menyanyikan sendiri.

“Tetapi permintaan saya ditolak mentah-mentah. Pernah seorang wakil syarikat rakaman peril saya. Katanya saya tidak kacak dan muka saya langsung tiada nilai komersial. Ibaratnya muka orang pecah rumah,” katanya.

Hinaan demi hinaan diterimanya, namun sama sekali tidak mematahkan semangatnya. Dari bercita-cita sebagai seorang penyanyi akhirnya dia menukar impian untuk menjadi seorang pencipta lagu. Hasratnya sekali lagi tidak kesampaian apabila hampir 60 buah lagunya dibakul sampahkan oleh syarikat rakaman.

Malang datang bertimpa apabila terpaksa keluar dari rumah sewa. Namun nasibnya agak baik apabila salah seorang rakannya mempelawa untuk tinggal bersama keluarganya di Cheras. Ketika itu juga dia berjaya mendapat kerja sebagai pekerja am di sebuah panggung wayang berhampiran Petaling Street.

Usaha kerasnya membuahkan hasil apabila Datuk Aziz Bakar yang ketika itu merupakan ‘orang kuat’ di syarikat rakaman BMG berminat dengan salah sebuah lagu ciptaannya. Lagu Pasti yang didendangkan oleh kumpulan Mega menjadi titik awal perjalanan kariernya, malah dia juga ditawarkan pekerjaan sebagai pembantu stor di situ.

“Sebagai remaja saya juga punya impian untuk bercinta. Tetapi semuanya tidak kesampaian apabila kebanyakan wanita yang saya minati semuanya sudah berpunya. Lagu Madah Berhelah (Ziana Zain), Penantian (Blackrose), Pelamin Anganku Musnah (Azie), Ramalanku Benar Belaka (Umbrella) adalah lagu yang berdasarkan pengalaman hidup saya ketika itu.

“Lagu Di Sana Menanti Di Sini Menunggu dendangan Ukays terus mengangkat nama saya. Album ini juga berjaya dijual melebihi 400,000 unit,” katanya.

Mengakui lagu-lagu ciptaannya yang didendangkan oleh kumpulan Slam dan Ukays Berjaya mendapat tempat di hati peminat. Kredebiliti dan reputasinya mula disanjung tinggi sehingga menjadikan dia seorang komposer yang disegani.

Siapa sangka seorang pemuda kampung yang berkelulusan darjah enam, hidup miskin dan melarat di kampung dan pernah menjadi peminta sedekah mampu menjulang nama setinggi ini. Kredabilitinya bukan sekadar ditagih oleh syarikat rakaman, malah setiap barisan artis-artis baharu dan popular yang ingin mencipta nama.

“Namun pada bulan Oktober 1996, saya diuji apabila motosikal berkuasa tinggi Ducati 748 yang ditunggang ketika itu terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Ampang. Waktu itu saya memang tidak ingat apa-apa. Hampir dua minggu saya koma. Rakan-rakan yang datang melawat pun saya tidak kenal. Saya hanya pandang mereka sahaja.

“Tapi Alhamdulillah, selepas 21 hari berada di hospital, sedikit demi sedikit kesihatan saya beransur baik. Saya sudah mampu mengingati perkara-perkara penting terutamanya berkaitan kerja.

Yang menghairankan walaupun belum pulih sepenuhnya tapi saya mampu menghasilkan lagu secara spontan dan mampu menerbitkan beberapa buah album. Itu semua kuasa Allah SWT. Saya bersyukur kerana masih diberi nafas dan idea untuk meneruskan hidup dan kerjaya sehingga ke hari ini,” katanya mengakhiri perbualan.

Kepada peminat yang ingin mengikuti Saari Amri secara dekat bolehlah layari channel youtube, Saari Amri Official. Dan kisah hidupnya juga telah dibukukan dalam karya bertajuk Air Mata Saari Amri yang berharga RM45 (kulit nipis) dan RM80 (kulit tebal) termasuk pos. Kepada yang berminat sila hubungi 016-3861598 untuk tempahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya