JAKARTA: Pelakon, Galih Ginanjar menegaskan dia tidak akan merampas hak penjagaan anak-anaknya daripada bekas isteri yang juga pelakon, Fairuz A. Rafiq.
Lapor portal Liputan6, kata pelakon berasal dari Garut Kota ini, dia hanya mengharapkan agar diberi kebenaran bekas isterinya itu untuk bertemu anak-anaknya.
“Sejak awal lagi, saya tidak pernah mahu merebut hak penjagaan (anak-anak).
“Saya cuma berharap agar dapat bertemu mereka. Tetapi biarlah dengan keizinan dan persetujuan kedua pihak,” katanya.
Galih tahun lalu telah dihukum penjara dua tahun empat bulan selepas terbukti bersalah menghina dan mengaibkan Fairuz dalam satu wawancara yang disiarkan di Youtube.
Menerusi wawancara itu, Galih secara terbuka mendedahkan cerita tentang kemaluan bekas isterinya yang disifatkannya memiliki bau seperti ikan masin.
Selain Galih, dua lagi Youtuber iaitu Rey Tami dan Pablo Benua masing-masing dihukum penjara setahun empat bulan dan setahun lapan bulan.
Galih bagaimanapun telah dibebaskan awal secara bersyarat sekitar Disember tahun lalu.
Dalam pada itu, pelakon yang popular menerusi drama Cinderella itu baru-baru ini membuat permohonan maaf kepada Fairuz dan suaminya, Sonny Septian atas perbuatannya sebelum ini.
Dia juga bertindak memohon maaf kepada puteranya, King Faaz dan berterima kasih kepada bekas isteri kerana menjaga anak mereka itu dengan baik.
“Saya ingin memohon maaf kepada anak saya, Faaz kerana beberapa kali menyinggung perasaannya dengan kata-kata saya.
“Terima kasih kepada Fairuz dan Sonny kerana telah membesarkan Faaz. Saya sebagai ayah belum berpeluang untuk bertemu dan membesarkannya buat ketika ini,” ujarnya.